Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

MENTERI ZIONIS PUJI ASKAR TEMBAK KANAK-KANAK PALESTIN MAIN BUNGA API YANG DIANGGAP PENGGANAS

DUNIA

MENTERI ZIONIS PUJI ASKAR TEMBAK KANAK-KANAK PALESTIN MAIN BUNGA API YANG DIANGGAP PENGGANAS

“Saya menyokong askar yang membunuh pengganas yang cuba menembak bunga api ke arahnya dan tentera. Inilah cara anda harus bertindak terhadap pengganas iaitu dengan keazaman dan tindakan tepat.”

TEBING BARAT: Menteri Keselamatan Negara Haram Israel, Itamar Ben Gvir memuji pembunuhan kanak-kanak lelaki Palestin berusia 12 tahun oleh askarnya pada Selasa.

Memetik laporan Middle East Eye, Ben-Gvir memuji pegawai yang menembak Rami Al-Halhouli, sebagai ‘wira dan pahlawan’, mengatakan dia telah melakukan ‘kerja teladan’ dan akan menerima sokongan penuh daripada pejabat menteri.

“Saya menyokong askar pengawal sempadan yang bertugas pada masa ini dan mempertaruhkan nyawa mereka terhadap berpuluh-puluh perusuh Arab di Shuafat.

“Saya menyokong askar yang membunuh pengganas yang cuba menembak bunga api ke arahnya dan tentera. Inilah cara anda harus bertindak terhadap pengganas iaitu dengan keazaman dan tindakan tepat,” katanya dalam kenyataan di Telegram.

Dalam rakaman video pembunuhan itu, Halhouli ditunjukkan bermain bunga api dan memegangnya di atas kepalanya sebelum dia tiba-tiba jatuh ke tanah selepas ditembak.

Pembunuhan itu berlaku di kem pelarian Shuafat berhampiran Baitulmaqdis Timur yang diduduki dan tentera Israel menuduh tindakan itu “gangguan ganas”.

Dalam satu kenyataan, polis Israel berkata, “Mereka menembak ke arah suspek yang membahayakan tentera”.

Selepas Halhouli ditembak, ahli keluarga dan penduduk lain dilihat mengelilinginya dengan seorang wanita menjerit namanya.

Kanak-kanak itu dibawa ke unit trauma Hospital Hadassah Mount Scopus, di mana dia disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Jurucakap polis Israel berkata bahawa tidak ada korban jiwa dalam kalangan orang Israel yang dikerahkan ke kem itu.

Menurut media tempatan, penduduk kem itu berkata, bunga api itu tidak ditujukan kepada tentera, dan tidak menimbulkan sebarang ancaman atau bahaya kepada Israel.

Menurut Ali Al Halhouli, bapa kepada kanak-kanak itu, anaknya hanya bermain bunga api seperti kanak-kanak lain.

“Saya tanya awak, budak berumur 12 tahun, macam mana dia adalah seorang pengganas?”

“Dia berpuasa dan berbuka dan dia keluar selepas itu dan dia bermain dengan kanak-kanak lain. Ia adalah Ramadan, mereka menyalakan bunga api. Mereka bermain.

“Rami adalah anak yang baik. Dia pandai di sekolah, dia pintar, dia membantu jiran kami. Ini adalah kejiranan dia dan dia tidak pernah pergi lebih jauh. Dia bukan pengganas,”katanya memetik laporan BBC.

Sementara itu Ben Gvir meminta askar yang membunuh budak lelaki itu menerima anugerah selain tidak disiasat oleh Mahash, Jabatan Penyiasatan Polis.

Pada Rabu, Ben Gvir juga pergi ke Jabatan Siasatan Polis Dalaman (DIPI) Israel untuk menyatakan sokongannya terhadap pegawai itu dan mengecam soalan DIPI terhadap lelaki itu.

“Adalah keterlaluan bagi saya kerana Jabatan Siasatan Polis Dalam Negeri berani menjemput ‘pejuang’ itu ke sini untuk disoal siasat, ia memalukan dan hina,” katanya.

Untuk rekod Ben Gvir sebelum ini pernah mengembalikan semula pegawai polis yang digantung oleh DIPI, dan untuk kejadian terbaru ini beliau akan memberikan sokongannya kepada pegawai terlibat dengan mendakwa lelaki itu dan rakan-rakannya ‘melakukan kerja yang luar biasa’. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading