KUALA LUMPUR: KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) tampil memohon maaf selepas tular di media sosial berhubung penjualan stokin tertera kalimah Allah di salah sebuah cawangannya.
Menurut syarikat itu, penjualan barangan tersebut telah dihentikan serta merta dan KK Super Mart kesal serta memandang serius perkara itu.
“Untuk makluman, produk ini adalah produk ‘consignment’ daripada pihak vendor.
“Kami juga sudah berhubung dengan pihak vendor untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu ini,” katanya
Syarikat tersebut menghargai keprihatinan orang ramai yang telah menegur dan memberi komen terhadap isu tersebut dan akan memastikan perkara itu tidak berulang.
Penjualan stokin berjenama MIRANOSOCK itu dipercayai berlaku di cawangan KK Super Mart di Bandar Sunway.
Ia mendapat perhatian umum selepas tular di media sosial jualan barangan itu yang dianggap tidak peka dan menyentuh sensitiviti umat Islam. — AlHijrah Online