IFTAR RAHMAH MADANI: 21,000 JUADAH BERBUKA PERCUMA UNTUK GOLONGAN MEMERLUKAN

KUALA LUMPUR: Sejumlah 21,000 individu kurang berkemampuan akan menerima juadah berbuka puasa secara percuma setiap hari menerusi Program Iftar Rahmah Madani 1445H.

Program itu digerakkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk membantu meringankan beban kos sara hidup.

JAWI dalam kenyataan hai ini memaklumkan, Iftar Rahmah Madani 1445H adalah program berkonsepkan soup kitchen yang berpusat di masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan bagi menyediakan pek makanan dengan pelbagai jenis juadah berbuka puasa setiap hari.

“Kaedah pelaksanaan program adalah petugas masjid dan surau memasak juadah berbuka puasa secara bergotong-royong di dapur masjid dan surau serta dibungkus untuk diedarkan kepada penerima yang ditentukan dalam kalangan asnaf, B40, dan golongan yang memerlukan di sekitar Wilayah-Wilayah Persekutuan,” kata JAWI.

Jumlah keseluruhan penerima manfaat sepanjang program tersebut berlangsung dijangka berjumlah 630,000 orang dan jumlah perbelanjaan yang diperuntukkan meningkat berbanding tahun lalu iaitu RM9.45 juta. 

Juadah berbuka itu nanti merangkumi set hidangan yang lengkap iaitu nasi, satu jenis lauk dan sayur, buah, kurma, dan minuman.

Majlis pelancaran Program Iftar Rahmah Madani 1445H dibuat hari ini di Masjid Al-Akram, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur dengan majlis perasmian disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Pada majlis tersebut, Mohd Na’im turut menyampaikan sumbangan bakul makanan JAWI Food Bank berupa barangan keperluan asas seperti beras, minyak, gula, tepung dan susu kepada 100 orang asnaf dengan nilai barangan RM100 bagi setiap penerima. — AlHijrah Online

Leave a Reply