Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

MESIR HANTAR KONVOI BANTUAN KE GAZA SELEPAS GENCATAN SENJATA DICAPAI

DUNIA

MESIR HANTAR KONVOI BANTUAN KE GAZA SELEPAS GENCATAN SENJATA DICAPAI

Mesir pada Khamis menghantar konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang pertama selepas perjanjian dicapai mengenai fasa pertama perjanjian gencatan senjata di Gaza, lapor Xinhua.

Sumber: Xinhua

KAHERAH: Mesir pada Khamis menghantar konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang pertama selepas perjanjian dicapai mengenai fasa pertama perjanjian gencatan senjata di Gaza, lapor Xinhua.

Dikendalikan oleh Bulan Sabit Merah Mesir (ERC), ia merupakan konvoi bantuan keempat yang dihantar dari Mesir ke Gaza sejak 27 Julai, menurut Saluran berita Mesir, AlQahera News.

Konvoi itu membawa ribuan tan bekalan makanan, termasuk beras, pasta, tepung dan susu formula bayi, selain ubat-ubatan serta bekalan perubatan, dan memulakan perjalanannya dalam suasana kegembiraan dan optimisme, menurut laporan itu.

Konvoi itu menyeberangi lintasan Rafah – satu-satunya laluan yang menghubungkan Semenanjung Sinai dengan Semenanjung Gaza – menuju ke lintasan Kerem Shalom untuk pemeriksaan oleh pihak berkuasa Israel sebelum memasuki wilayah Gaza, menurut laporan itu.

Terdahulu pada Khamis, pengantara dalam rundingan Israel-Hamas memaklumkan bahawa satu perjanjian yang merangkumi semua ketetapan dan mekanisme pelaksanaan berkaitan fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza telah dicapai, dan draf akhir perjanjian sedang dimuktamadkan.

Perjanjian itu akan menamatkan serangan, memastikan pembebasan tawanan Israel dan tahanan Palestin, serta membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah berkenaan, dengan butiran lanjut akan diumumkan kemudian.

Pengumuman mengenai perjanjian itu dibuat susulan rundingan tidak langsung selama tiga hari antara Hamas dan Israel di bandar peranginan Sharm el-Sheikh, Mesir bagi merundingkan pelan damai yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading