Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

PENINDASAN UMAT ISLAM PUNCA KEGANASAN: TUN M

DALAM NEGARA

PENINDASAN UMAT ISLAM PUNCA KEGANASAN: TUN M

Oleh Zaim Zamani

KUALA LUMPUR: Penindasan ke atas masyarakat Islam antara punca utama dunia dihimpit isu keganasan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menjangkakan lebih banyak tindakan keganasan akan berlaku sekiranya isu penindasan masyarakat Islam seperti berlaku di Palestin tidak ditangani.

Katanya, lebih memburukkan keadaan jika kuasa besar seperti Amerika Syarikat memberi sokongan kepada Israel.

“Banyak perkara dilakukan Israel bertentangan dengan kedaulatan undang-undang, melanggar undang-undang antarabangsa dan di luar amalan biasa.

“Namun sokongan diberikan kepada Israel, khususnya (dari) Amerika Syarikat walaupun Israel melakukan jenayah antarabangsa,” kata Dr Mahathir ketika berucap pada Siri Kolokium Antarabangsa Berkenaan Pemahaman Islam Menentang Islamofobia di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata penindasan ke atas umat Islam seperti dilakukan Israel kepada warga Palestin menyebabkan ramai pihak marah dan kecewa, lebih-lebih lagi apabila dunia hanya memerhati dan tiada tindakan tegas diambil ke atas rejim zionis itu.

Perdana Menteri menegaskan ketidakadilan itu memaksa sesetengah pihak mengambil jalan keganasan sebagai penyelesaian.

“Ia menjejaskan pemikiran ramai rakyat Palestin dan masyarakat Muslim yang merasakan langkah konvensional (rundingan) adalah sia-sia untuk mendapatkan semula tanah Palestin.

“Mereka jadi marah dan kecewa kemudian timbul idea untuk bertindak sendiri. Mereka tidak mampu berperang, tiada kereta kebal, pesawat, kapal terbang dan lain-lain. Jadi mereka memilih tindakan keganasan untuk menentang Israel dengan meletupkan diri di tempat yang sesak dan membunuh ramai orang,” katanya.

Bagaimanapun Dr Mahathir menjelaskan jalan keganasan bukan langkah penyelesaian terbaik kerana turut mengorbankan mereka yang tidak bersalah.

Beliau berkata tindakan itu juga akan menyebabkan lebih ramai pihak menjauhi Islam serta meningkatkan perasaan islamofobia dan menambah jumlah sokongan kepada Israel.

Dr Mahathir, yang sentiasa lantang dalam isu konflik Palestin-Israel, menjangkakan isu keganasan akan berkurangan jika keadilan diberikan kepada warga Palestin.

Beliau turut mengajak pemimpin dunia mengenal pasti punca keganasan dalam usaha mengawal masalah itu dan mengembalikan keamanan. – AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading