
Foto: AFP
TEHRAN: Perang saraf antara Washington dan Tehran kini meletus ke tahap paling ekstrem. Iran secara terbuka mendakwa Amerika Syarikat (AS) sebenarnya sedang nazak di medan perang dan terdesak mencari jalan keluar.
Dalam satu kenyataan berbaur amaran keras, jurucakap Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Brigedier Jeneral Ali Mohammad Naeini, menegaskan bahawa mereka yang akan menentukan bila perang dengan Amerika Syarikat (AS) berakhir, sekali gus menolak kenyataan Presiden AS Donald Trump semalam bahawa perang akan “tamat tidak lama lagi.”
“Kami tahu peluru anda hampir habis. Anda mencari jalan keluar yang terhormat tetapi gagal. Mengapa tidak beritahu rakyat Amerika perkara sebenar? Bahawa semua infrastruktur tentera AS di rantau Teluk Parsi telah musnah?” tegas Naeini melalui agensi berita Tasnim.
Strategi “Peluru Berat” Iran Bukan sekadar retorik, Tehran membuktikan kedegilannya di lapangan. Naeini mendedahkan bahawa keupayaan peluru berpandu Iran tidak sedikit pun terjejas oleh serangan AS-Israel. Sebaliknya, Iran kini melancarkan lebih banyak projektil berbanding hari pertama perang.
Dalam tindakan yang bakal menggegarkan ekonomi global, IRGC menegaskan satu ketetapan baharu iaitu ‘Tiada setitik pun minyak’ akan dibenarkan keluar dari wilayah tersebut untuk mana-mana pihak yang dianggap penceroboh dan rakan kongsi mereka.
“Usaha anda untuk mengawal harga minyak adalah sia-sia dan sementara. Kami adalah pihak yang memegang kunci pengakhiran perang ini, bukan Washington,” kata Naeini lagi.
Susulan kenyataan keras Tehran, Trump enggan menundukkan egonya, malah mengancam untuk menyerang Iran 20 kali ganda lebih keras berbanding serangan sedia ada jika aliran minyak diganggu. Trump turut memberi amaran akan memusnahkan infrastruktur yang bakal menyukarkan Iran untuk dibina semula sebagai sebuah negara.
Iran melancarkan gelombang ke-33 serangan balas dan mengumumkan penggunaan peluru berpandu berat (1 tan ke atas) terhadap Israel dan sasaran strategik lain.
Penasihat dasar luar, Kamal Kharazi, menyatakan ruang untuk diplomasi telah tertutup rapat – Alhijrah Online