KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengharapkan semangat umat Islam tidak mudah goyah selain terus kekal kuat mencipta kemenangan, seperti perjuangan Asy Syahid Ismail Haniyeh.
Anwar memuat naik sebuah nukilannya dalam mengenang perjuangan sahabatnya, Haniyeh, yang syahid diserang rejim Zionis Israel.
“Obor perjuanganmu akan terus menyala dan membakar semangat kami untuk terus menyanggah kezaliman dan kebobrokan.
“Jalur perjuangan ini tidak mudah kerana penindasan dan penderitaan selama berdekad lamanya ini hanya akan membenih kekuatan baharu dan semangat buat para pejuang.
“Setelah ramai anggota keluarganya syahid di jalan perjuangan, kini giliran Ismail dibedil rejim pengecut. Semoga syurga buatmu, sahabat.
“Saya amat berharap semangat kita tidak mudah luntur dan goyah dan mesti kekal kuat mencipta kemenangan,” katanya, hari ini.
Terdahulu Beliau mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas itu.
Katanya ia merupakan pembunuhan yang sangat tragik serta kejam dan jelas bertujuan menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung bagi mengakhiri kekejaman regim Zionis Israel di Gaza yang telah meragut lebih 40,000 nyawa.–AlHijrah Online