KUALA LUMPUR: Tindakan seorang wanita menghalau individu yang menggunakan fasiliti surau Musolla Halaman 11, Bandar Rimbayu, yang tular videonya baru-baru ini, amat dikesali.
Barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) Musolla Halaman 11 dalam kenyataannya berkata, pihaknya membantah sekeras-kerasnya tindakan tersebut.
Jelasnya, tindakan yang dilakukan wanita itu bukan hasil daripada persetujuan pihak pentadbir dan individu tersebut bukan salah seorang daripada AJK surau tersebut.
“AJK Musolla amat mengharapkan kehadiran sesiapa sahaja bagi mengimarahkan Musolla.
“Untuk makluman, pihak AJK telah pun berjumpa dengan pengurusan badan pengurusan bersama (JMB) bagi menyelesaikan keadaan. Pendirian kami jelas, Musolla boleh digunakan oleh sesiapa sahaja untuk beribadat atau berehat sebentar,” katanya.
Pihaknya turun memaklumkan tindakan untuk mengunci surau itu tidak akan berlaku selain bil api dan air adalah atas tanggungan surau itu hasil derma orang awam.
Katanya, status surau itu sebagai harta bersama penduduk itu benar tetapi bagi tujuan beribadat, surau itu perlu dibuka untuk semua pihak.
“Seperti sedia maklum, bagi memasuki kawasan Halaman 11 perlu melepasi palang (untuk jemaah luar kawasan H11). Ada prosedur keselamatan yang perlu dibuat sebelum masuk.
“Akhir kata, ayuh sebarkan kebaikan dan sama-sama menjaga keharmonian. Jika ada sebarang persoalan boleh terus berhubung dengan AJK,” katanya lagi.
Terdahulu tular video menunjukkan seorang wanita menegur jemaah lelaki yang sedang beriktikaf di sebuah surau di kawasan perumahan.
Wanita tersebut telah meminta jemaah itu untuk keluar walaupun hanya hadir untuk solat, dan wanita tersebut memberi alasan terdapat kes kecurian berlaku di surau tersebut baru-baru ini.—AlHijrah Online
Pingback: “TAK ADA ADAB, IHSAN”, ANAK KESAL BAPA DIHALAU KELUAR SURAU DARIPADA BERIKTIKAF – ALHIJRAH ONLINE