PUTRAJAYA: AlHijrah Media Corporation Sdn Bhd atau TV AlHijrah menunaikan tanggungjawab dengan membayar zakat perniagaan berjumlah RM588,020.95 kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) untuk hasil kewangan pada 2024.
Pengerusi TV AlHijrah, Khair Ngadiron berkata, pembayaran tersebut merupakan tahun kelima berturut-turut stesen itu menunaikan zakat perniagaan, hasil sokongan berterusan penonton serta komitmen pengurusan dan warga kerja TV AlHijrah.
Menurut beliau, keuntungan yang diperoleh walaupun sederhana memberi peluang kepada TV AlHijrah untuk menyumbang semula kepada masyarakat melalui saluran zakat, sekali gus menjadi asbab keberkatan dan kelangsungan organisasi.
“Ini adalah hasil sokongan penonton yang terus meraikan TV AlHijrah. Kami berada di landasan yang betul dan apa jua keuntungan yang diperoleh, kami kembalikan kepada masyarakat melalui pembayaran zakat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas sokongan penuh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta keseluruhan agensi agama yang sentiasa mendokong peranan TV AlHijrah sebagai penyiar Islam negara.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kutipan zakat daripada syarikat dan entiti korporat amat signifikan sebagai pelengkap kepada dasar kerajaan dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan asnaf dengan lebih berkesan.
Menurut beliau, PPZ-MAIWP dan MAIWP akan memastikan setiap sumbangan zakat diurus dan diagihkan dengan penuh amanah, selaras dengan usaha membasmi kemiskinan tegar khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
“Setiap sen zakat yang diterima akan diagihkan kepada seluruh asnaf dengan penuh tanggungjawab, seiring usaha menyahut seruan Perdana Menteri untuk membasmi kemiskinan tegar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis penyerahan zakat perniagaan di Putrajaya, hari ini.
Dalam majlis sama, PPZ-MAIWP menerima bayaran zakat perniagaan daripada 28 syarikat dan entiti korporat dengan nilai keseluruhan berjumlah RM33 juta.
Bagi tempoh Januari hingga November tahun ini, PPZ-MAIWP merekodkan kutipan zakat perniagaan sebanyak RM135.4 juta melibatkan pelbagai sektor.
Untuk rekod, pada tahun lalu, 16 peratus daripada keseluruhan kutipan zakat adalah hasil zakat perniagaan berjumlah RM183.8 juta, menjadikannya penyumbang kedua terbesar selepas zakat pendapatan. — AlHijrah Onlline