Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

WANITA MABUK MASUK LORONG MOTOSIKAL LANGGAR PENUNGGANG

DALAM NEGARA

WANITA MABUK MASUK LORONG MOTOSIKAL LANGGAR PENUNGGANG

KUALA LUMPUR: Seorang wanita dipercayai dalam keadaan mabuk telah melanggar penunggang motosikal selepas tersalah masuk ke lorong motosikal, di Lebuhraya Persekutuan, semalam.

Kejadian yang berlaku pada jam 8 malam tadi melibatkan pemandu wanita berusia 21 tahun yang memandu kenderaan jenis Perodua Axia dari arah Kuala Lumpur menghala ke Petaling Jaya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya berkata, sebaik sahaja anggota polis tiba di kawasan berhampiran pintu gerbang Kota Darul Ehsan, wanita tersebut didapati tersalah masuk ke lorong motosikal.

“Wanita berkenaan memandu melawan arus dan menghala semula ke Kuala Lumpur di lorong motosikal berkenaan.

“Pemandu terbabit gagal mengelak sebuah motosikal yang datang dari arah Kuala Lumpur sebelum melanggarnya,” katanya.

Mengulas lanjut, penunggang motosikal (42 tahun) tersebut mengalami kecederaan di bahagian kaki, manakala pemandu wanita berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Wanita tersebut ditahan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mengambil spesimen darah dan air kencing untuk ujian toksikologi.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 79(2) dan Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.—AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading