
Sumber Gambar: JBPM
BALIK PULAU: Seorang wanita warga emas dan anak lelakinya ditemukan meninggal dunia di dalam rumah di Flat Taman Sahabat Teluk Kumbar di sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan pada 8.17 malam daripada polis memohon bantuan membuka pintu yang berkunci.
“Bomba yang tiba di lokasi pada 8.32 malam bertindak membuka pintu rumah dengan menggunakan peralatan khas dan menemukan dua mangsa di ruang tamu serta dalam bilik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
John berkata wanita berusia 72 tahun serta anaknya 39 tahun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata operasi melibatkan enam anggota dan sebuah jentera Balai Bomba Penyelamat Seri Balik Pulau.
Difahamkan jiran dua beranak itu menghubungi pihak berkuasa selepas menghidu bau busuk dari rumah tersebut.—BERNAMA