BEIRUT: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut selepas terkena serpihan yang jatuh di Kuwait, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Usaha oleh perkhidmatan kecemasan untuk menyelamatkan nyawanya gagal, menurut Kementerian Kesihatan dalam kenyataan pada Rabu, sambil menambah bahawa kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu di sebuah hospital di Kuwait City.
Kementerian itu tidak memberikan sebarang butiran mengenai jenis serpihan yang mengenai kanak-kanak tersebut.
Baru-baru ini, beberapa insiden melibatkan serpihan yang jatuh berlaku di negara itu akibat sistem pertahanan udara menembak jatuh dron dan misil Iran. Pada awal Rabu, contohnya, Kementerian Pertahanan memaklumkan bahawa pertahanan udara telah menembak jatuh sasaran musuh di ruang udara Kuwait. Serpihan yang jatuh telah menyebabkan kerosakan dan kecederaan. Tiada butiran lanjut diberikan.
Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan berskala besar terhadap Iran pada Sabtu, mencetuskan peningkatan ketegangan serantau apabila Tehran melancarkan misil ke pangkalan AS di beberapa negara Teluk.–Bernama