
SHAH ALAM: Seorang wanita dan rakan lelakinya masing-masing didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyembunyikan kelahiran dengan cara menguburkan mayat bayi di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, bulan lepas.
Nur Atisha Balqis Ismail, 22, dan Muhamad Razi, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan secara bersama dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Nur Atisha dan Muhamad Razi didakwa menyembunyikan kelahiran dengan cara menguburkan mayat seorang bayi yang telah meninggal dunia sama ada sebelum, semasa atau selepas dilahirkan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini pada 7 petang, 17 Feb lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Peguam Hazwan Hassan yang mewakili Mohamad Razi dalam rayuan mitigasi memaklumkan anak guamnya tiada niat menyembunyikan kelahiran kerana bayi berkenaan sudah meninggal dunia maka ia dikebumikan di tanah perkuburan itu.
Sementara itu, peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi yang mewakili Nur Atisha memohon dikenakan denda sahaja memandangkan anak guamnya adalah pesalah muda dan itu kesalahan pertama.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Amirah Zahari memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.–BERNAMA