Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

ARAB SAUDI ANJUR SIDANG KEMUNCAK ARAB-ISLAM PADA 11 NOV TANGANI SERANGAN ISRAEL

DUNIA

ARAB SAUDI ANJUR SIDANG KEMUNCAK ARAB-ISLAM PADA 11 NOV TANGANI SERANGAN ISRAEL

Kenyataan Kementerian Luar Arab Saudi yang mengatakan sidang kemuncak yang dirancang itu akan menjadi susulan daripada sidang kemuncak sebelum ini yang diadakan di Riyadh pada 11 Nov 2023, untuk membincangkan perang Israel di Gaza.

Foto fail menunjukkan pemimpin negara Islam berkumpul dalam Sidang Kemuncak OIC. –foto AFP

RIYADH: Arab Saudi pada Rabu berkata ia akan menganjurkan Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam pada 11 Nov untuk menangani serangan Israel di wilayah Palestin dan Lubnan, serta perkembangan serantau.

Agensi Anadolu melaporkan kenyataan Kementerian Luar Arab Saudi yang mengatakan sidang kemuncak yang dirancang itu akan menjadi susulan daripada sidang kemuncak sebelum ini yang diadakan di Riyadh pada 11 Nov 2023, untuk membincangkan perang Israel di Gaza.

Kementerian itu mengutuk “jenayah dan pelanggaran” berterusan oleh Israel terhadap rakyat Palestin, serta serangan di Lubnan, sambil menekankan risiko serius terhadap keselamatan dan kestabilan serantau.

Ketegangan serantau telah meningkat berikutan serangan kejam Israel di Semenanjung Gaza, yang mengorbankan lebih 43,160 orang sejak 7 Okt tahun lepas.

Ketika konflik merebak ke Lubnan dengan Israel melancarkan serangan maut di seluruh negara, lebih 2,700 orang terbunuh dan lebih 12,500 yang lain cedera dalam serangan Israel sejak tahun lepas, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.

Walaupun terdapat amaran antarabangsa bahawa rantau Timur Tengah berada di ambang perang serantau akibat serangan berterusan Israel di Gaza dan Lubnan, Tel Aviv memperluaskan konflik itu pada 1 Okt dengan melancarkan serangan darat ke selatan Lubnan. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading