
KUALA LUMPUR: “Kalau tidak mahu ikut bertindak, jangan pula menjadi perosak.”
Demikian kata Pengarah Sumud Nusantara Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman terhadap tindakan sesetengah individu yang mempertikaikan usaha Global Sumud Flotilla (GSF) hanya wayang semata-mata.
“Sampai kat sebahagian kita, duduk depan keyboard, scroll phone, garu ketiak, duk kata GSF ni wayang dan sia-sia.
“Kalau tak mahu ikut bertindak, jangan pula menjadi perosak. Kalau tak mampu menyulam indah, usah menabur benci dan fitnah,” tegasnya menerusi hantaran di Facebooknya.
Jelas Nadir, ribuan penggerak termasuk ahli jawatankuasa, pasukan kapten, kru dan teknikal dari seluruh dunia telah terlibat dalam usaha menjayakan misi GSF.
“19 Steering Committee Members dan puluhan penggerak dalam Working Groups seluruh dunia bermesyuarat tiga kali seminggu selama empat bulan untuk menjayakan GSF kali ini, dan bekerja 20 jam sehari secara sukarela.
“Kemudian berbincang secara bersemuka dan melancarkan gerakan di Istanbul, Kuala Lumpur, Malé, Johannesburg, Tunis, Amsterdam, Bogotá, Havana dan kini berkampung di Barcelona. Pasukan kapten, kru dan teknikal menyiapkan bot sejak 3 bulan dengan 1001 usaha menjamin keselamatan.
“Ribuan penggerak akan melaksanakan ‘encampment’, menutup pelabuhan yang menghantar senjata kepada penjajah, mengatur konvensyen ahli parlimen, menyusun penglibatan ribuan doktor dan pendidik, malah akan ada kerajaan yang tumbang kerana berada di pihak yang sumbang, inshaAllah,” ujarnya lagi.
Semalam, Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza melalui delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 akan membawa 30 kontena bantuan kritikal, bakal memberi manfaat langsung kepada kira-kira 100,000 rakyat Palestin.
Delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza akan bergerak mengikut jadual strategik yang dirancang dengan teliti bagi memastikan keselamatan semua peserta, khususnya sebelum ketibaan di pintu sempadan Rafah dalam beberapa hari lagi.—AlHijrah Online