SHAH ALAM: Dua mayat masing-masing lelaki dan wanita, ditemukan dalam keadaan mereput di sebuah rumah di U13, Setia Alam di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Ramsay Embol berkata mayat berkenaan ditemukan ahli keluarga kepada seorang daripada mangsa di rumah sewa milik adiknya.
Beliau berkata siasatan awal bersama pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mendapati rumah berkenaan berada dalam keadaan tertutup, tiada kenderaan di pekarangan dan pintu besi hadapan tidak berkunci.
“Kedua-dua mayat berada dalam keadaan mereput dan berdasarkan pemeriksaan forensik, dianggarkan mangsa telah meninggal dunia lebih seminggu.
“Bagaimanapun, keadaan rumah adalah teratur dan tiada unsur jenayah dikesan serta pemeriksaan juga mendapati tiada kecederaan pada tubuh badan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramsay berkata mayat wanita berusia 39 tahun dan lelaki berusia 36 tahun itu dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat, manakala kes disiasat sebagai mati mengejut.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pegawai penyiasat Ketua Polis Balai Seksyen 6, Insp Izzman Mohd Idrus di talian 013-4003355.–AlHijrah Online