
Gambar Arkib
BAU: Bermula 1 April, penggunaan kad kredit dan debit antarabangsa di terminal pam layan diri disekat, sementara pembayaran hanya dibenarkan di kaunter bagi mengekang pembelian bahan api oleh kenderaan asing.
Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam berkata larangan ini termasuk penjualan dan pembelian RON 95 oleh kenderaan asing, di mana kedua-dua pihak, penjual mahupun pembeli, boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Mulai hari ini, kita mula membuat larangan penjualan dan pembelian RON95 oleh pemandu atau pemilik kenderaan asing. Ini pengukuhan undang-undang sedia ada di mana kedua-dua pihak, penjual dan pembeli, boleh dikenakan tindakan.” katanya ketika meninjau pelaksanaan larangan tersebut di Bau, hari ini.
Beliau menambah, penguatkuasaan turut dipertingkat melalui Ops Tiris 4.0 dengan kerjasama pelbagai agensi dan pemantauan di stesen minyak. Orang ramai diminta menyalurkan maklumat terus kepada KPDN tanpa menularkan kes, bagi memastikan siasatan tidak terjejas.
Tindakan tegas akan diambil terhadap pesalah, termasuk denda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun bagi kesalahan pertama, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta. – AlHijrah Online