Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

‘UJIAN INI BERAT, RAKYAT MALAYSIA JADI PENGUAT SEMANGAT’

DALAM NEGARA

‘UJIAN INI BERAT, RAKYAT MALAYSIA JADI PENGUAT SEMANGAT’

Selepas ini, Nadia  merancang untuk pulang terus ke kampung halamannya di Batu Kurau, Perak dan menetap bersama ibu mentuanya di Semanggol bagi memulakan hidup baharu

SHAH ALAM: “Ujian ini berat, namun saya perlu kuat demi anak-anak”. Demikian rintihan hiba Nor Nadia Abdul Majid, isteri kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, mangsa kemalangan maut yang tular baru-baru ini.

Di sebalik ketenangan wajahnya, tersimpan duka yang mendalam apabila impian untuk menua bersama suami tercinta kini tinggal kenangan. Namun, semangatnya kembali pulih apabila kesedihan yang ditanggung turut dipikul bersama oleh seluruh rakyat Malaysia yang tidak henti-henti menzahirkan sokongan dan solidariti.

Bagi Nadia, 32, kehilangan suami yang merupakan tunggak utama keluarga satu tamparan hebat. Apatah lagi, arwah dikenali sebagai seorang bapa yang sangat penyayang dan sanggup bekerja keras melakukan dua pekerjaan demi memastikan keselesaan anak-anak.

“Dia selalu cakap dia tak boleh penat sebab dia suami. Dia mahu anak-anak selesa di rumah walaupun dia sendiri terpaksa berpanasan di luar,” katanya sebak.

Tragedi pilu di Jalan Raya Barat, Klang itu berlaku ketika suaminya keluar untuk membeli buku teks matematik anak sulung mereka yang berusia sembilan tahun. Kanak-kanak itu sempat diselubungi rasa bersalah, bimbang pemergian bapanya berpunca daripada permintaan tersebut.

Di tengah-tengah fasa paling gelap dalam hidupnya, Nadia melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas keprihatinan rakyat Malaysia. Sokongan moral dan bantuan kewangan yang mengalir tanpa henti, termasuk tularnya kod QR akaun bank beliau, menjadi bukti semangat kebersamaan ummah.

Kisah memilukan Nadia dan tiga anaknya  turut mendapat perhatian agensi agama. Kehadiran menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama , Dr Zulkifli Hasan membuktikan bahawa keluarga ini tidak keseorangan dalam menempuh ujian ini.

Menerusi insiatif #MadaniMembantu, pelbagai agensi termasuk JAKIM, TV Alhijrah, YADIM, Tabung Haji, YAPEIM, dan IKIM menyerahkan bantuan kewangan dan pendidikan dengan jumlah keseluruhan RM15,700.

Selepas ini, Nadia  merancang untuk pulang terus ke kampung halamannya di Batu Kurau, Perak dan menetap bersama ibu mentuanya di Semanggol bagi memulakan hidup baharu. Beliau juga berhasrat untuk memulakan perniagaan Bundle kecil-kecilan sebagaimana pernah dirancang bersama arwah suaminya sebelum ini.

Nadia nekad untuk berdikari dan fokus untuk membesarkan anak-anaknya berusia dua hingga sembilan tahun selain mahu meneruskan perjuangan Allahyarham Amirul yang tidak mengenal erti penat dalam membina keluarga. – AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading