MELAKA: Seorang remaja lelaki yang disyaki membekalkan rokok elektronik atau vape mengandungi dadah mushroom kepada kekasihnya berusia 14 tahun sejak Febuari lepas ditahan polis semalam.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata pelajar tingkatan empat sebuah sekolah di sini itu kemudiannya dibawa ke mahkamah dan dibenarkan direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
“Hasil saringan ujian air kencing suspek didapati negatif dan dalam masa yang sama siasatan masih dilakukan termasuk mengetahui dari mana dia mendapat bekalan vape mushroom tersebut,” katanya ketika dihubungi media di sini hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seskyen 376 Kanun Keseksaan.
Media semalam melaporkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun disyaki mencederakan diri sendiri dengan mengelar leher dan tangan pada Ahad lepas akibat di bawah pengaruh vape mushroom yang diperoleh daripada kekasihnya.
Siasatan awal mendapati kejadian di sebuah rumah di Jonker Walk itu berlaku apabila mangsa tertekan selepas dihalang daripada keluar bersama teman lelakinya itu oleh ibu angkatnya berusia 49 tahun.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan dan dibenarkan keluar wad pada Rabu lepas. –BERNAMA