Connect with us

ALHIJRAH NEWS

PAKATAN ARAB SAUDI PINTAS PELURU BERPANDU SELEPAS HOUTHI SERANG LAPANGAN TERBANG RIYADH

DUNIA

PAKATAN ARAB SAUDI PINTAS PELURU BERPANDU SELEPAS HOUTHI SERANG LAPANGAN TERBANG RIYADH

Pakatan tentera pimpinan Arab Saudi pada Isnin memaklumkan pihaknya telah memintas peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh kumpulan Houthi dari Yaman, selepas kumpulan yang disokong Iran itu mendakwa melancarkan serangan baharu ke atas lapangan terbang antarabangsa di Riyadh.

Sumber: AFP

RIYADH: Pakatan tentera pimpinan Arab Saudi pada Isnin memaklumkan pihaknya telah memintas peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh kumpulan Houthi dari Yaman, selepas kumpulan yang disokong Iran itu mendakwa melancarkan serangan baharu ke atas lapangan terbang antarabangsa di Riyadh.

Operasi itu dijalankan sehari selepas insiden letupan menggegarkan ibu negara Arab Saudi berkenaan, di mana pihak berkuasa turut menghantar pesanan ringkas kepada penduduk bagi memberi amaran mengenai “ancaman udara” yang menyasarkan bandar tersebut.

Kumpulan Houthi telah melancarkan gelombang serangan bertubi-tubi ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, termasuk satu serangan pada bulan ini yang mengorbankan 13 nyawa dan mencederakan lebih 300 yang lain, yang disifatkan sebagai insiden paling berdarah di negara itu dalam tempoh lebih sedekad.

Jurucakap pakatan, Turki Al-Malki berkata, sistem pertahanan udara telah “memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik” yang dilancarkan oleh Houthi ke arah Riyadh, selain memusnahkan dua pelancar peluru berpandu balistik di ibu negara Yaman, Sanaa.

“Kami akan meneruskan proses melumpuhkan rangkaian peluru berpandu balistik milik kumpulan pengganas Houthi,” lapor Al-Malki menerusi satu hantaran di platform X.

Pada Ahad, Houthi mendakwa mereka telah melancarkan serangan ke atas lapangan terbang terbabit, selepas kerajaan Arab Saudi mengumumkan operasi penerbangan telah disambung semula.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree berkata, kumpulan itu telah melaksanakan “tiga operasi ketenteraan dengan puluhan peluru berpandu balistik”, dan mendakwa serangan ke atas lapangan terbang itu telah “mencapai sasarannya”.

Tambah Saree, Houthi turut menyasarkan pangkalan udara King Khalid di Khamis Mushait dan sebuah pangkalan tentera laut di Jazan yang terletak di bahagian selatan kerajaan itu.

Penutupan lapangan terbang Riyadh merupakan satu tamparan hebat buat Arab Saudi memandangkan ia memaksa penangguhan persidangan pelaburan utama kerajaan itu sehingga tahun 2027, selain menjejaskan rancangan perjalanan ribuan penumpang. Rali Dakar turut tersenarai antara acara yang terpaksa dibatalkan, ditangguhkan atau dipindahkan lokasi susulan impak daripada peperangan berkenaan.

Terdahulu, Saree memberi amaran bahawa lapangan terbang Riyadh masih “tidak selamat” dan dianggap sebagai sebuah “sasaran tentera”.

“Angkatan Tentera Yaman memberi amaran kepada semua syarikat penerbangan antarabangsa, serantau dan tempatan—termasuk kakitangan dan pengembara—agar tidak menggunakan Lapangan Terbang King Khalid di Riyadh memandangkan ia tidak selamat dan berfungsi sebagai sasaran tentera buat tentera kami. Rejim Arab Saudi perlu menanggung akibat daripada sebarang operasi di lapangan terbang tersebut,” katanya.

Arab Saudi dan kerajaan yang disokongnya di Yaman telah berdepan serangan berterusan sejak beberapa minggu lalu daripada kumpulan Houthi apabila gencatan senjata yang berlangsung bertahun-tahun sebelum ini menemui kegagalan pada musim panas lalu, lantas mengubah tumpuan peperangan berskala lebih besar antara AS dan Iran yang tercetus pada Februari.

Pada Ahad, Saree mendakwa pesawat perang Arab Saudi telah melancarkan 56 serangan di seluruh Yaman dalam tempoh 24 jam sebelumnya dengan menyasarkan beberapa wilayah.

Semasa operasi penerbangan disambung semula di lapangan terbang Riyadh, Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis telah mengadakan pertemuan dengan pemerintah de facto Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Semasa pertemuan itu, Mitsotakis “memberi maklum balas positif terhadap permohonan kerajaan berkenaan untuk mengekalkan sistem Patriot di Arab Saudi, berikutan keadaan semasa yang mencabar,” kata pejabatnya.

Greece telah menempatkan bateri sistem pertahanan udara Patriot buatan AS di Yanbu, sebuah hab eksport minyak utama di kawasan pantai Laut Merah.

Terdahulu, pakatan tentera pimpinan Arab Saudi memaklumkan ia berjaya memintas sekurang-kurangnya 10 peluru berpandu balistik. Pertempuran ini kembali meletus selepas rundingan gencatan senjata antara Houthi dan kerajaan Yaman yang disokong Riyadh gagal.

“Pengeboman berterusan dengan sangat teruk sejak pagi ini. Semoga Tuhan melindungi kami. Segalanya bergegar akibat letupan,” kata seorang penduduk di Khamis Mushait, Arab Saudi kepada AFP pada Ahad dengan syarat namanya dirahsiakan.

Agensi pertahanan awam kerajaan kemudiannya memaklumkan bahawa dua individu di wilayah selatan cedera akibat ditimpa serpihan, selain melaporkan kerosakan pada beberapa bangunan dan kenderaan.

Beberapa imej yang dikeluarkan oleh Agensi Akhbar Saudi (SPA) memaparkan sebahagian muka hadapan tingkat atas sebuah bangunan musnah sehingga menampakkan struktur besi. Satu lagi imej menunjukkan cermin tingkap bersaiz besar pecah, dengan serpihan kaca bertaburan di atas laluan pejalan kaki dan sebahagian jalan raya. – Alhijrah Online

 


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

News Editor / Anchor

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top