
GUA MUSANG: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar seekor lembu di Kilometer 11 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran Renok Baru, Batu 5, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata dalam kejadian pada 7.50 malam itu, mangsa yang berusia 18 tahun menunggang motosikal dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai.
Beliau berkata akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan raya manakala motosikal yang ditunggangnya terseret kira-kira 80 meter.
“Lembu yang terlibat dalam kemalangan itu turut ditemukan mati di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sik berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Aida di talian 09-912 1222 bagi membantu siasatan. — AlHijrah Online.