Connect with us

ALHIJRAH NEWS

PEGAWAI KANAN POLIS DIPENJARA TUJUH TAHUN ENAM BULAN, BAYAR PAMPASAN SEBABKAN KEMATIAN PELAJAR

DALAM NEGARA

PEGAWAI KANAN POLIS DIPENJARA TUJUH TAHUN ENAM BULAN, BAYAR PAMPASAN SEBABKAN KEMATIAN PELAJAR

DSP Mohd Nazri Abdul Razak dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun enam bulan selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian pelajar Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie pada 2023, selain diperintahkan membayar pampasan RM50,000 kepada keluarga mangsa.

Sumber Gambar: BERNAMA

IPOH: Seorang pegawai kanan polis dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan menyebabkan kematian pelajar Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, tiga tahun lepas.

Pengakuan DSP Mohd Nazri Abdul Razak, 47, direkodkan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet pada akhir kes pendakwaan dan beliau memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap 15 Disember 2023.

Lelaki itu juga diperintahkan membayar pampasan RM50,000 kepada bapa mangsa Muhd Zamrie Zainal Abidin, 58, atau dihukum penjara setahun, jika gagal berbuat demikian.

Mohd Nazri didakwa menyebabkan kematian Muhammad Zaharif, 17 tahun, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di sini antara 11.55 pagi hingga 12.32 tengah hari 15 Disember 2023 dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz dibantu Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Monisha Pandey manakala lelaki itu diwakili peguam Datuk M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid serta Aiman Hakim Kamaruzzaman. Peguam Mirza Muhaimin Zaidi pula bertindak sebagai pemerhati untuk keluarga.

Athimulan dalam rayuannya memaklumkan anak guamnya berhasrat menyampaikan rasa dukacita, kesal dan takziah kepada keluarga mangsa kerana sebagai seorang bapa, Mohd Nazri amat kesal dengan kehilangan tragis seorang anak muda akibat kemalangan jalan raya dan dirinya tidak berniat menyebabkan kecederaan atau kematian.

Beliau berkata Mohd Nazri tidak mempunyai rekod sabitan jenayah dan tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib serta telah mendedikasikan diri untuk berkhidmat sebagai pegawai polis untuk negara sehingga ke pangkat DSP.

“Tertuduh menerima kesan apabila kehilangan kerja, reputasi, kedudukan dalam masyarakat dan juga ketenangan jiwa. Dia dengan rendah diri dan insaf bersedia menghadapi apa juga hukuman yang difikirkan wajar oleh mahkamah,” katanya.

Afzainizam berkata pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran, mengambil kira keseriusan kesalahan dan kepentingan awam serta perbuatan lelaki itu yang menyebabkan mangsa kehilangan nyawa.

Beliau berkata mengikut Seksyen 426 Kanun Tatacara Jenayah, pihak pendakwaan mencadangkan bayaran pampasan kepada keluarga mangsa sebanyak RM50,000.

Sementara itu, Muhd Zamrie ketika membaca pernyataan impak mangsa di mahkamah berkata kehilangan anaknya itu suatu tragedi yang amat menyedihkan dan meninggalkan kesan begitu mendalam terhadap diri dan seluruh keluarga.

Muhammad Zaharif Affendi, menurut lelaki itu masih muda dan mempunyai masa depan yang cerah dan pada usia 17 tahun, sepatutnya diberi peluang untuk meneruskan kehidupan serta mengejar cita-cita, membina kerjaya dan menikmati masa depan bersama-sama keluarga.

“Sebagai seorang bapa, tiada kesedihan lebih besar daripada kehilangan anak sendiri. Hingga hari ini, saya dan keluarga masih terus berusaha untuk menerima hakikat bahawa anak yang kami besarkan dengan penuh kasih sayang telah pergi buat selama-lamanya.

“Kehilangan ini bukan sahaja meragut nyawa anak saya, malah meragut sebahagian kebahagiaan dan harapan keluarga kami,” katanya.

Muhd Zamrie berharap kejadian itu menjadi perhatian sewajarnya supaya kehilangan nyawa seorang anak muda tidak dipandang ringan serta sebagai pengajaran kepada orang awam agar kejadian seperti itu tidak berulang supaya tiada ibu bapa perlu melalui penderitan dan kesedihan ditanggung mereka sekeluarga.

Sementara itu, Mirza Muhaimin ketika ditemui pemberita berkata buat masa ini pihaknya tidak bercadang mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan dan menganggap kes selesai kerana Mohd Nazri telah mengaku bersalah.

Terdahulu, mahkamah memutuskan terdapat kes prima facie terhadap tertuduh bagi kesalahan di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan meminda pertuduhan tersebut.

Sebelum ini, Mohd Nazri didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top