Connect with us

ALHIJRAH NEWS

APABILA RUMAH MEREKA MUSNAH, KE MANA LAGI HARUS BERLINDUNG?

UTAMA

APABILA RUMAH MEREKA MUSNAH, KE MANA LAGI HARUS BERLINDUNG?

Bumi ini memang milik manusia. Tetapi bumi ini juga milik kera, harimau, unggas, pokok-pokok tua, hutan paya dan segala makhluk yang hidup tanpa pernah menghadiri mesyuarat, memegang konsesi atau menandatangani sebarang kontrak.

Tular di media sosial, seekor kera bekantan bertenggek kaku di atas bumbung sebuah rumah di Nagara, Kalimantan Selatan. Tubuhnya yang selama ini bergantung pada dahan pokok, hutan paya dan tebing sungai, kini berada di ruang yang dibina manusia.

Haiwan berkenaan dipercayai menyelamatkan diri daripada kebakaran hutan dan satu-satunya kawasan yang selamat untuk berlindung ialah kawasan manusia.

Bagi manusia, kebakaran hutan mungkin menjengah sebagai berita, asap yang menyesakkan dada, merosotnya jarak pandang atau angka titik panas yang semakin bertambah.

Bagi penghuni hutan seperti bekantan, kebakaran itu bererti hancurnya rumah dan menjadi debu makanan-makanan mereka. Bahkan dalam beberapa situasi serius, mereka terpaksa berpisah dengan keluarga dan kumpulan sendiri.

Bekantan atau Nasalis larvatus ialah antara khazanah paling istimewa kepulauan Borneo. Spesies ini hanya terdapat di kawasan tersebut dan berstatus Terancam (Endangered) dalam Senarai Merah Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN).

Habitatnya berkait rapat dengan kawasan hutan bakau, hutan di sepanjang sungai dan kawasan berpaya, termasuk ekosistem gambut dan sangat bergantung kepada kestabilan air dan tumbuh-tumbuhan.

Maka, apabila hutan terbakar, kita sebenarnya sedang menyaksikan kemusnahan sebuah rangkaian kehidupan.

Kalimantan ketika ini berada dalam episod kebakaran hutan dan tanah yang serius. Pada 19 Ogos 2026, Kementerian Kehutanan Indonesia melaporkan 518 titik panas berkeyakinan tinggi dikesan di Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan. Data ini meningkat lebih empat kali ganda berbanding sehari sebelumnya.

Tidak dinafikan bahawa cuaca memainkan peranan besar dalam isu ini. Indonesia sedang bergelut dengan musim kemarau yang datang jauh lebih awal dan berpotensi lebih panjang serta lebih kering daripada biasa.

Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia dalam laporan Pemutakhiran Prediksi Musim Kemarau 2026 di Indonesia ada menyebut bahawa puncak musim kemarau dijangka berlaku pada Ogos, manakala El Niño pula berada pada tahap sangat kritikal dan meningkatkan risiko kekeringan serta kebakaran rimba.

Walau bagaimanapun, cuaca tidak menyalakan api dengan sendirinya.

Dalam kenyataan pada April, Menteri Kehutanan Indonesia, Raja Juli Antoni pernah mengingatkan tentang risiko pembakaran dalam proses pembukaan tanah, termasuk penglibatan syarikat. Beliau menegaskan langkah pencegahan dan pengawalan perlu dilakukan lebih awal terutama berkaitan kegiatan pembersihan tanah.

Cakap-cakap yang memanas di media sosial bahawa kebakaran ini berpunca daripada “oligarki tamak” dan kerajaan haruslah dibaca dengan berhati-hati kerana dakwaan sedemikian memerlukan bukti khusus.

Walaupun begitu, sentimen tersebut memperlihatkan sesuatu yang sah dari sudut demokrasi iaitu masyarakat perlu tahu bagaimana keputusan tentang tanah, hutan, konsesi, penguatkuasaan dan pembangunan dibuat.

Apabila sebuah kawasan hutan diberikan nilai dalam bentuk komoditi, kayu, perlombongan, ladang atau pembangunan, nilai ekologinya sering menjadi angka yang sukar kelihatan pada kertas perakaunan.

Sebatang pokok mempunyai harga ketika ditebang, sedangkan fungsinya sebagai penyimpan karbon, penstabil tanah, habitat hidupan liar dan sebahagian daripada kitaran air jauh lebih sukar dimasukkan ke dalam neraca keuntungan.

Kerajaan yang serius terhadap kelestarian perlu memastikan manfaat pembangunan dinikmati masyarakat, sementara kos ekologinya tidak diwariskan kepada generasi yang akan datang.

Dalam Islam, hubungan manusia dengan alam mempunyai dimensi amanah. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Rum, ayat 41 yang bermaksud:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Angkara tangan kitalah bumi ini merosot kesihatannya. Di sini, Kalimantan sedang mengajar kita sesuatu yang penting yakni mencegah jauh lebih baik daripada pemulihan. Kita, Malaysia perlu belajar daripada pengalaman jiran sebelum episod sama menjadi lebih buruk di sini.

Bekantan di atas bumbung rumah itu mungkin hanyalah satu daripada banyaknya hidupan hutan yang mencari perlindungan. Namun, kita harus melihatnya sebagai tamparan.

Sesungguhnya, bumi sudah semakin menyempit untuk margasatwa apabila manusia terus merampas ruang mereka.

Foto tersebut mungkin akan lenyap ditelan waktu manakala berita tentang titik panas pula akan dihanyutkan deras hujan kelak. Namun, hutan yang musnah tidak dapat pulih dalam sehari. Puluhan atau barangkali ratusan tahun diperlukan untuk dibina semula.

Bumi ini memang milik manusia.

Tetapi bumi ini juga milik kera, harimau, unggas, pokok-pokok tua, hutan paya dan segala makhluk yang hidup tanpa pernah menghadiri mesyuarat, memegang konsesi atau menandatangani sebarang kontrak. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

1 Comment

1 Comment

  1. Anonymous

    25 August 2026 at 1:07 PM

    Salut sih sama artikelnya. Makasih udah berani bahas topik yang lagi rame ini. Ditunggu tulisan selanjutnya ya 😊

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading