
Sumber: AFP
RAMALLAH: Pihak Berkuasa Palestin pada Ahad memaklumkan hampir 2,700 penduduk telah kehilangan tempat tinggal akibat operasi ketenteraan Israel di bandar Hebron, Tebing Barat yang dilancarkan susulan insiden dua tenteranya terbunuh dalam satu serangan berhampiran kawasan berkenaan.
Berikutan serangan pada Jumaat lalu, tentera Israel bertindak menceroboh masuk ke kawasan kejiranan Ein Deir Baha di Hebron iaitu kawasan kediaman penyerang terbabit, lalu mengarahkan penduduk tempatan mengosongkan rumah mereka.
Tindakan itu dibuat selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk melancarkan operasi besar-besaran di wilayah yang diduduki tersebut.
“Lebih 2,670 rakyat Palestin telah dipaksa keluar dari kediaman mereka di Hebron oleh tentera penceroboh Israel. Majoritinya adalah wanita, kanak-kanak, dan warga emas, berdasarkan data daripada Perbandaran Hebron,” lapor pejabat Perdana Menteri Palestin menerusi satu hantaran di platform X.
Berdasarkan imej yang dirakam oleh AFP pada Ahad, konvoi kenderaan tentera dan polis Israel yang diiringi anggota tentera dilihat meronda di sekitar Hebron melalui laluan yang disekat daripada lalu lintas awam dengan deretan kereta dan motosikal.
Sementara itu, seorang peniaga tempatan, Higazi al-Tamimi yang juga antara pemimpin masyarakat di kawasan kejiranan yang dikosongkan itu mendakwa dia telah dipukul oleh tentera Israel ketika cuba pulang ke rumahnya.
“Saya ingat seorang atau dua daripada mereka mula memukul kaki, dada, dan bahu saya. Salah seorangnya turut memukul kepala saya,” katanya ketika ditemui terlantar di katil hospital dengan kakinya berbalut tebal.
“Mereka kemudiannya menolak saya ke belakang, dan saya terus berundur sehinggalah tiba di kawasan yang selamat,” tambahnya. – Alhijrah Online