Connect with us

ALHIJRAH NEWS

BANTUAN RM1,000 BUKAN UNTUK PANCING UNDI PRN MELAKA – MENTERI PENGANGKUTAN

DALAM NEGARA

BANTUAN RM1,000 BUKAN UNTUK PANCING UNDI PRN MELAKA – MENTERI PENGANGKUTAN

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menafikan bantuan RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di Melaka bertujuan memancing undi PRN dengan menegaskan bantuan sama diberikan di seluruh negara.

MELAKA: Menteri Pengangkutan Anthony Loke menafikan bantuan khas kewangan sebanyak RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di Melaka bertujuan untuk “memancing undi” sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, insentif berkenaan diberikan kepada semua pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di seluruh negara selepas diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen baru-baru ini.

“Saya nak betulkan beberapa kenyataan dekat luar, ada yang tanya mengapa hanya di Melaka? Hakikatnya (pemberian bantuan khas kewangan) ini untuk semua pemandu teksi di seluruh negara, bukan di Melaka sahaja.

“Hari ini, saya (sampaikan bantuan khas kewangan) di Melaka, minggu lepas saya di Negeri Sembilan, minggu depan saya pergi Kedah pula, jadi di setiap negeri seluruh negara, pemandu teksi dan kereta sewa juga akan mendapat bantuan khas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah di Auditorium Kompleks CMI, Ayer Keroh, hari ini.

Sebanyak 283 pemandu teksi dan kereta sewa menerima baucar sumbangan bernilai RM1,000 setiap seorang pada majlis berkenaan.

Loke berkata, kira-kira 12,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah dijangka menerima bantuan khas kewangan itu pada minggu ini bagi meringankan beban mereka.

“Yang tidak sempat kita jemput untuk majlis, kita buat pemindahan ataupun bank-in melalui Electronic Fund Transfer (EFT). Bantuan ini tidak mengira tempat, selagi dia ada kad pemandu yang sah dan mereka sahkan kad pemandu itu dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), maka kita akan dapat daftar nama mereka dalam sistem dan akan diberi bantuan RM1,000.

“Bermula hari ini juga, ada lebih 12,000 nama yang akan kita kreditkan (bantuan khas kewangan) dalam akaun bank masing-masing … kita berharap bantuan ini dapat disalurkan secepat mungkin untuk meringankan beban mereka,” katanya. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading