
Kuala Lumpur: Kerajaan akan meneruskan pemberian Baucar Buku MADANI bernilai RM100 kepada semua pelajar sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta mahasiswa institusi pengajian tinggi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, soal pendidikan dan akses kepada bahan bacaan perlu terus diberi keutamaan demi pembangunan ilmu dalam kalangan generasi muda.
“Semua pelajar sekolah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan mahasiswa bawah kementerian pengajian di seluruh negara akan tetap menerima RM100 seorang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir serta Penasihat Jawatankuasa Pengelola Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Mohd Khair Ngadiron.
Pada majlis sama, Perdana Menteri turut melancarkan buku ‘Membangun Masyarakat MADANI Versi Kartun’ karya kartunis terkenal, Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar.
PBAKL 2026 terus menjadi platform utama dalam memupuk budaya membaca dan memperkukuh ekosistem penerbitan negara menerusi penglibatan pelbagai pihak dalam industri buku tempatan dan antarabangsa. — AlHijrah Online