
Muar: Tourism Malaysia memperhebat promosi Pelancongan Mesra Muslim (MFT) di peringkat antarabangsa sebagai antara strategi utama menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Pengarah Kanan Bahagian Pengiklanan dan Digital Tourism Malaysia, Mohd Akbal Setia berkata usaha itu memperlihatkan komitmen Malaysia dalam mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pilihan pelancong Muslim, selain mengetengahkan keunikan budaya dan produk pelancongan tempatan.
“Tourism Malaysia akan terus mempergiat usaha promosi dengan memberi tumpuan kepada segmen pelancongan bernilai tinggi termasuk pelancongan mesra Muslim, pelancongan budaya dan berasaskan pengalaman serta pelancongan berasaskan komuniti dengan sokongan strategik daripada agensi serta rakan industri,” katanya pada pelancaran Pameran Pakej Sambutan Aidiladha di Homestay Kampung Sarang Buaya di sini hari ini.
Tambahnya, program itu turut diperkukuh menerusi Program Suai Kenal (Fam Trip) membabitkan tujuh ejen pelancongan dari Singapura serta lima wakil media antarabangsa dan tempatan di bawah kempen TMM 2026.
Pakej Aidiladha yang diperkenalkan memberi fokus kepada perjalanan patuh syariah dengan menggabungkan elemen kerohanian dan pengalaman komuniti tempatan termasuk aktiviti melapah daging korban serta gotong-royong memasak.
“Selaras dengan tema TMM 2026, iaitu ‘Surreal Experiences’, program ini mengetengahkan kekuatan Malaysia dalam menawarkan pengalaman pelancongan imersif yang berteraskan tradisi budaya dan kehidupan komuniti. Ia memperkenalkan pengalaman Aidiladha yang dirangka khas dengan menawarkan peluang kepada pengunjung untuk berinteraksi secara langsung dengan kehidupan kampung di samping memahami lebih mendalam adat resam dan nilai tempatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata pengalaman pelancongan berasaskan komuniti seperti inap desa bukan sahaja memperkayakan pengalaman pelawat, malah memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.
Menurut Tourism Malaysia, sehingga Mac lalu lebih 250 kluster inap desa diwujudkan di hampir 600 kampung dengan penglibatan lebih 3,500 pengusaha berdaftar di seluruh negara.
Pada suku pertama 2026, program berkenaan merekodkan 176,376 pengunjung dengan jumlah penerimaan keseluruhan sekitar RM12.93 juta. — AlHijrah Online