
SUNGAI BESAR: Seorang lelaki warga tempatan meninggal dunia selepas kereta dipandunya terbabas melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik, di Kampung Belia 2 Sungai Panjang, di sini petang tadi.
Kemalangan tersebut turut melibatkan seorang wanita dan seorang kanak-kanak yang merupakan ahli keluarga mangsa, menaiki kenderaan jenis Proton Saga dan dilaporkan cedera.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian sekitar jam 1:25 petang tadi sebelum menggerakkan anggota ke lokasi kejadian.
“Seorang lelaki berusia 30-an tersepit di bahagian pemandu disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Seorang wanita berusia 30-an dan seorang kanak-kanak berusia 2 tahun yang cedera turut dikeluarkan oleh orang awam telah diserahkan kepada pihak KKM bagi tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.—AlHijrah Online