Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

KANAK-KANAK SEMBILAN TAHUN MAUT DIGILIS KERETA MENGUNDUR

DALAM NEGARA

KANAK-KANAK SEMBILAN TAHUN MAUT DIGILIS KERETA MENGUNDUR

“Kanak-kanak itu yang panik, kemudiannya berlari ke arah belakang kereta untuk cuba menahan kereta daripada bergerak, namun terus digilis kereta terbabit,”

Sumber gambar: PDRM

BALING: Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut digilis kereta apabila dia dikatakan cuba menahan kereta itu yang sedang mengundur, di Kampung Keledang Luar, Tawar dekat sini, semalam.

Aisyah Amani Amirrudin, murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Tawar yang mengalami pendarahan di kepala akibat kejadian, meninggal dunia semasa dalam perjalanan untuk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 2.15 petang semasa kanak-kanak itu dikatakan sedang bermain di luar rumah bersama adik lelakinya berusia tujuh tahun, apabila dia masuk ke dalam kereta itu yang diletakkan di hadapan rumah.

Beliau berkata menurut saksi, kanak-kanak yang dilihat bermain di tempat duduk pemandu itu dipercayai telah menurunkan brek tangan sehingga menyebabkan kereta itu bergerak mengundur ke belakang.

“Kanak-kanak itu yang panik, kemudiannya berlari ke arah belakang kereta untuk cuba menahan kereta daripada bergerak, namun terus digilis kereta terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya kejadian malang itu disedari bapa saudaranya berusia 29 tahun yang sedang bersiap untuk keluar bekerja sebagai pemandu van ambulans sebuah syarikat swasta.

“Bapa saudara kanak-kanak itu yang terdengar jeritan ke kereta berkenaan dan mendapati anak saudaranya itu berada di bawah kereta,” katanya.

Shamsudin berkata lelaki itu kemudian menghantar kanak-kanak berkenaan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, namun dia dilaporkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

Katanya mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut serta disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading