POLIS SIASAT TERPERINCI KES TIGA REMAJA MAUT BERMOTOSIKAL

Sumber gambar: BERNAMA

ISKANDAR PUTERI: Polis akan melakukan siasatan terperinci kes tiga remaja maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal dua hari lepas di Taman Kota Masai, Pasir Gudan, di sini.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata siasatan dilakukan demi memastikan keadilan kepada pihak terlibat selepas ada ahli keluarga mangsa mendakwa insiden itu tidak melibatkan perlumbaan haram.

“Kes tiga remaja meninggal, kami akan siasat sebab ada keluarga beritahu anak dia bukan lumba haram..kami akan siasat demi keadilan.

“Kawasan itu memang satu daripada kawasan (hot spot) yang digunakan (untuk berlumba), jalan itu tidak ada halangan dan sebagainya. Tetapi untuk kes ini, kami akan siasat lebih terperinci, saya harap keluarga  bersabar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri yang baharu, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes tiga penunggang motosikal berusia 15 hingga 16 tahun yang maut dalam kemalangan dipercayai berlumba sesama sendiri, manakala seorang lagi remaja berusia 17 tahun, mengalami kecederaan parah dalam insiden pada 10.30 malam, Jumaat (22 April).

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata hanya 10 peratus daripada 10,000 pegawai dan anggota polis di Johor dibenarkan bercuti sempena Aidilfitri.

Beliau berkata ia bagi memastikan penugasan Op Selamat yang bermula pada 28 April ini berjalan lancar.

Kamarul Zaman berkata penugasan Op Selamat antaranya akan memfokuskan pemantauan di kawasan kediaman, kawalan trafik di kawasan tumpuan seperti pusat beli-belah serta lebuh raya dan kawasan bandar, bagi mengelakkan kesesakan sekali gus memastikan orang ramai mematuhi peraturan jalan raya. –AlHijrah Online

Leave a Reply