Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

KEBAKARAN PUTRA HEIGHTS: PENDUDUK TERJEJAS DAKWA SUKAR TUNTUT PAMPASAN INSURANS

DALAM NEGARA

KEBAKARAN PUTRA HEIGHTS: PENDUDUK TERJEJAS DAKWA SUKAR TUNTUT PAMPASAN INSURANS

Sebahagian penduduk yang terkesan dengan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights mendakwa berdepan pelbagai cabaran, terutama dalam usaha menuntut pampasan insurans rumah dan kenderaan selepas lebih sebulan insiden berkenaan.

Gambar FAIL (BERNAMA)

SUBANG JAYA: Sebahagian penduduk yang terkesan dengan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights mendakwa berdepan pelbagai cabaran, terutama dalam usaha menuntut pampasan insurans rumah dan kenderaan selepas lebih sebulan insiden berkenaan.

Setiausaha Persatuan Penduduk Topaz Putra Heights Lau Cheng Chew berkata penduduk meluahkan rasa kecewa apabila mendapati jumlah tuntutan yang diluluskan syarikat insurans adalah rendah, meskipun kediaman dan kenderaan mereka terdedah kepada haba tinggi selama hampir lapan jam.

“Penilai syarikat insurans hanya membuat pemerhatian luaran terhadap kerosakan tanpa mengambil kira impak haba terhadap struktur dalaman rumah dan kenderaan. Ini menyebabkan penduduk tidak mampu membaiki kediaman mereka sepenuhnya dan mendapat ganti rugi berkaitan kenderaan secara berpatutan,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog awam bersama penduduk di sini hari ini.

Sesi yang berlangsung di Taman Putra Harmoni itu dihadiri wakil penduduk daripada 65 kediaman yang terletak di Jalan 1/3E, Jalan 1/3F dan Jalan 1/3G, bagi mendapatkan perkembangan terkini insiden berkenaan.

Dalam pada itu, Lau berkata kira-kira 30 penduduk yang mengalami kecederaan akibat insiden pada 1 April lepas turut berdepan tekanan dan kebimbangan apabila bil rawatan susulan, terutama di hospital swasta semakin meningkat. 

“Setakat 20 April, jumlah keseluruhan bil rawatan mencecah RM2.7 juta. Ini menimbulkan kebimbangan kerana ia boleh mengurangkan had perlindungan insurans mereka, sekali gus menyukarkan rawatan penyakit lain pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, terdapat beberapa penduduk yang masih belum menerima bantuan sewa berjumlah RM2,000 daripada kerajaan sementara pemaju asal Taman Putra Harmoni, Sime Darby Property membaik pulih kediaman mereka.

“Persatuan penduduk sedang memantau perkara ini dan akan membawa aduan berkenaan kepada pihak berkaitan,” katanya.

Sementara itu, peguam daripada firma guaman REC Legal Farhan Ghani ketika sesi taklimat berasingan berkata 200 penduduk yang terkesan akibat kejadian itu sedang mempertimbangkan untuk memfailkan saman secara berkumpulan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Sesi taklimat akan diadakan lagi bagi memberikan maklumat mengenai tindakan perundangan kepada penduduk,” katanya.

Insiden kebakaran saluran paip gas pada 1 April lepas menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Insiden itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas. —AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading