DALAM NEGARA
KEKEJAMAN GAZA BUKAN SEKADAR BERITA DI TV ALHIJRAH, IA PANGGILAN KESEDARAN DAN PENYATUAN
Dalam liputan berkenaan konflik Gaza, TV AlHijrah mengambil pendekatan yang berbeza daripada media arus perdana.

Oleh: Mohd Ezzat Asyiq Azhar
Konflik berterusan antara Palestin dan Israel, khususnya di Gaza, merupakan isu kemanusiaan dan politik yang penting dalam sejarah moden. Penderitaan rakyat Palestin menarik perhatian masyarakat antarabangsa dan menjadi simbol solidariti umat Islam. Di Malaysia, isu Gaza diberi perhatian yang mendalam atas dasar kemanusiaan, agama, dan kepercayaan. TV AlHijrah memainkan peranan utama dalam membentuk pemahaman dan menyalurkan suara umat Islam mengenai krisis ini.
Sebagai penyiar milik kerajaan, TV AlHijrah menggalas tanggungjawab yang besar bukan sahaja dalam menyampaikan maklumat tetapi juga dalam mengangkat naratif aspek Islam yang mencerminkan nilai moral, spiritual dan solidariti ummah. Hal ini melihatkan bagaimana TV AlHijrah membingkai laporan berita mengenai Gaza sebagai satu bentuk dakwah moden dan medium penyatuan umat Islam. Perbincangan ini turut menilai bagaimana TV AlHijrah menggunakan media tradisional dan digital bagi memperluas jangkauan mesej serta menyentuh jiwa masyarakat Malaysia. Pendekatan ekonomi politik media akan digunakan untuk menelusuri peranan TV AlHijrah sebagai medium ideologi yang memperkukuh naratif Islam dalam konteks kebangsaan dan global.
Kerangka Teori: Ekonomi Politik Media dan Pembingkaian Islamik
Teori ekonomi politik komunikasi seperti yang dihuraikan oleh Mosco (2009) menekankan bahawa media tidak beroperasi dalam vakum, sebaliknya dikawal oleh struktur kuasa, pemilikan dan kepentingan ideologi. Dalam konteks TV AlHijrah, struktur pemilikannya yang berada di bawah pentadbiran kerajaan meletakkannya sebagai salah satu instrumen dalam radas ideologi negara (Althusser, 1971). Ini bermakna, kandungan yang disampaikan oleh TV AlHijrah bukan sahaja mencerminkan misi dakwah Islam tetapi turut sejajar dengan dasar luar negara Malaysia yang menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Selain itu, teori pembingkaian berita oleh Entman (1993) menggariskan bagaimana media memilih aspek tertentu dalam sesuatu isu untuk diketengahkan. Proses pembingkaian ini melibatkan pemilihan fakta, penekanan nilai dan penstrukturan naratif. Dalam kes Gaza, TV AlHijrah menggunakan naratif yang menggabungkan elemen moral, agama dan emosi untuk membentuk kefahaman khalayak tentang siapa yang tertindas dan siapa yang menzalimi. Di sinilah letaknya keunikan TV AlHijrah berbanding media yang berorientasikan pemberitaan neutral.

TV AlHijrah dan Misi Islamik
TV AlHijrah ditubuhkan pada tahun 2010 sebagai saluran penyiaran yang berteraskan nilai Islam dengan matlamat untuk menjadi platform utama penyebaran dakwah dalam bentuk kontemporari. Misinya adalah untuk menjadikan media sebagai alat pengukuhan akidah, perpaduan ummah dan penyebaran nilai murni dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan.
Dalam liputan berkenaan konflik Gaza, TV AlHijrah mengambil pendekatan yang berbeza daripada media arus perdana. Fokus utamanya bukan sekadar pada laporan berita secara fakta semata-mata tetapi juga penekanan kepada elemen spiritual, pengajaran rohani dan nilai keimanan yang boleh dihayati oleh penonton. TV AlHijrah secara konsisten mengaitkan penderitaan rakyat Palestin dengan ayat-ayat al-Quran, hadis serta sirah perjuangan umat terdahulu. Pendekatan ini menjadikan setiap laporan bukan sahaja sebagai maklumat tetapi juga sebagai tazkirah kepada masyarakat.
TV AlHijrah juga sering menampilkan panel ilmuan dan tokoh agama untuk membicarakan konflik Gaza dalam konteks Islamik yang lebih mendalam. Ini membolehkan penonton melihat isu Gaza bukan hanya sebagai tragedi politik, tetapi sebagai cabaran akidah yang menuntut solidariti dan tindakan.
Naratif Keagamaan dan Heroisme Umat Islam
Dalam melaporkan krisis Gaza, TV AlHijrah tidak sekadar menampilkan statistik korban dan kerosakan, tetapi memposisikan rakyat Palestin sebagai pejuang dan syuhada yang mempertahankan maruah Islam. Rakyat Gaza dibingkai sebagai simbol kekuatan rohani yang tinggi walaupun ditindas secara fizikal. Istilah seperti “syahid”, “jihad”, dan “pejuang kebenaran” digunakan secara konsisten. Visual laporan pula sering disertakan dengan latar bacaan al-Quran, iringan muzik dakwah serta penggambaran anak kecil yang tetap tersenyum walau di tengah keperitan.
Naratif ini berjaya membentuk empati yang mendalam dalam kalangan penonton, di samping menyemai rasa tanggungjawab moral dan spiritual. Dalam erti kata lain, TV AlHijrah berjaya menjadikan Gaza sebagai cerminan kekuatan iman dan ketabahan ummah.
Media Dakwah dan Penyatuan Suara Umat
TV AlHijrah menggunakan platform pemberitaan sebagai medan dakwah yang berkesan. Wartawan dan penyampai berita sering menyampaikan laporan dengan gaya yang lebih tegas, namun penuh empati, berbeza daripada penyampaian yang biasa kita lihat dalam laporan berita konvensional. Seruan untuk mendoakan Palestin, menghulurkan bantuan serta bersatu hati sering dijadikan penutup setiap segmen rancangan.
Bukan itu sahaja, TV AlHijrah turut menyiarkan program khas, siaran langsung forum dan diskusi ilmiah yang memperjelas konteks sejarah serta dimensi akidah dalam konflik Gaza. Inisiatif seperti ini menjadikan saluran tersebut bukan sekadar penyampai berita tetapi pemimpin pemikiran yang menyatukan suara ummah di Malaysia.

Penggunaan Platform Digital: Dakwah Era Baharu
TV AlHijrah telah berjaya melakukan transformasi digital dengan aktif di pelbagai platform media sosial seperti TikTok, Instagram, Facebook dan YouTube. Kandungan yang dikongsikan di TikTok @beritaalhijrah114 misalnya, bersifat ringkas, padat dan menyentuh emosi. Klip video menyayat hati, bacaan doa, tazkirah pendek dan animasi dakwah digunakan bagi menarik perhatian generasi muda. Tidak hairan kongsian di TikTok @beritaalhijrah sentiasa mendapat jutaan capaian kerana suara penyampaian begitu tegas dan berinformasi.
Strategi ini membolehkan TV AlHijrah mencapai audiens yang lebih luas dan pelbagai, sekali gus menjadikan suara Islam kekal relevan dalam ruang digital yang dikuasai oleh pelbagai ideologi. Selain itu, penghasilan kandungan yang mesra algoritma membuktikan kebijaksanaan TV AlHijrah dalam menggunakan kekuatan teknologi tanpa mengabaikan misi dakwah.

Perbincangan: Kepimpinan Naratif dan Cabaran Komersialisasi
Kejayaan TV AlHijrah dalam membina naratif Islamik mengenai Gaza harus dilihat sebagai pencapaian penting dalam landskap media Malaysia. Ia berjaya membentuk ruang alternatif kepada media liberal dan sekular yang lazimnya bersifat neutral atau berat sebelah dalam melaporkan isu Palestin. Kehadiran TV AlHijrah menjadi suara penyeimbang yang memartabatkan nilai Islam dan kemanusiaan.
Transformasi ke platform digital membuka peluang luas untuk dakwah Islam disampaikan secara lebih kreatif dan berkesan. Namun dalam mengejar capaian dan daya tarikan, adalah penting agar nilai-nilai dakwah tetap menjadi panduan utama. Elemen seperti visual yang menarik, tajuk yang menggugah dan strategi capaian yang efektif boleh dimanfaatkan secara bijaksana tanpa menjejaskan kualiti mesej. Justeru, garis panduan etika media Islam dalam era digital amat diperlukan bagi memastikan dakwah kekal autentik, relevan dan memberi impak positif kepada masyarakat.
Dalam masa yang sama, TV AlHijrah juga boleh meneroka lebih banyak ruang kerjasama dengan media Islam antarabangsa seperti Al Jazeera, TRT World dan Press TV dalam mengukuhkan jaringan suara ummah sejagat sekali gus menyangkal naratif media barat pro Israel yang miskin dengan idelogi kemanusiaan.
Kesimpulan
Sebagai saluran penyiaran Islam milik negara, TV AlHijrah telah membuktikan dirinya sebagai medium teras dalam menyampaikan suara umat Islam Malaysia. Liputan terhadap konflik Gaza bukan sahaja bersifat informatif, tetapi turut menyentuh aspek spiritual, moral dan intelektual. Ia bukan sekadar berita, ia adalah panggilan kesedaran dan penyatuan.
Melalui pembingkaian Islamik yang kukuh selama 15 tahun, penggunaan teknologi digital yang bijaksana serta komitmen kepada nilai dakwah, TV AlHijrah berjaya mendominasi ruang naratif berkaitan isu Gaza dan memperkukuh identiti media Islam di Malaysia. Dalam dunia yang semakin terpecah oleh propaganda dan naratif berkepentingan, TV AlHijrah muncul sebagai “mimbar moden” yang menyuarakan kebenaran.
PENULIS ADALAH PENERBIT KANAN DI JABATAN BERITA DAN HAL EHWAL SEMASA TV ALHIJRAH
Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.
Related
Discover more from ALHIJRAH ONLINE
Subscribe to get the latest posts sent to your email.
