KKM RAMPAS 93 BOTOL AIR ZAM ZAM DIJUAL TANPA LESEN

KUALA LUMPUR: Sejumlah 93 botol didakwa air zam zam bernilai RM3,000 dirampas dalam dua serbuan berasingan di Petaling Jaya serta Kuala Lumpur, minggu lalu.

Operasi khas Kementerian Kesihatan ke atas premis yang menjalankan aktiviti penjualan dan pengedaran air zam zam itu dibuat hasil aduan dan risikan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyatan pada Isnin berkata, ketika serbuan pada 23 Ogos lalu di Petaling Jaya, KKM merampas 10 botol berisipadu lima liter bernilai RM1,600 dan notis kesalahan di bawah Peraturan 360A (2) telah dikeluarkan.

Manakala pada serbuan di Kuala Lumpur pada 25 Ogos lepas pula, seorang individu didapati menjual produk air zam zam secara tidak sah di premis perniagaan persendirian.

Hasil serbuan itu, 83 botol bersamaan 41.5 liter air zam zam bernilai RM 2,075 disita.

Individu terbabit dikenakan kompaun RM3,000 atas kesalahan di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Dr Muhammad Radzi menjelasakan, air zam zam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub bawah Peraturan 360A Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air KKM setelah mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

Dalam kes ini, Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan itu kerana air zam zam tidak boleh dieksport dan diperdagangkan. — AlHijrah Online

Leave a Reply