
CYBERJAYA: Seorang lelaki didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memuat naik kandungan jelik melampau serta menghina institusi kehakiman di media sosial, pada 22 Disember 2025.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataannya berkata, tertuduh Mohamad Azri Sahlam, 41, didakwa di Mahkamah Sesyen Keningau, di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Katanya, beliau telah menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook secara sedar untuk membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik melampau sifatnya.
“Tertuduh telah membayar denda berkenaan.
“Hukuman dikenakan berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 233(2) Akta 588, memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya, hari ini.
Dalam pada itu, MCMC memandang serius penyebaran kandungan jelik melampau berunsur 3R (raja, agama dan kaum) di mana perbuatan sedemikian boleh menjejaskan kedaulatan undang undang serta kebebasan institusi kehakiman, selain berpotensi menggugat ketenteraman dan keharmonian awam.
“Orang ramai diingatkan agar menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab bagi memastikan ruang siber kekal selamat serta bebas daripada penyalahgunaan yang boleh mencetuskan keresahan dan ketegangan masyarakat.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat,” tambahnya.—AlHijrah Online