MAKKAH: Seorang jemaah haji Malaysia dilaporkan meninggal dunia di Tanah Suci, pada petang semalam, akibat serangan jantung.
Pemergian Allahyarham Nor Azamuddin Ahmad, 56, yang juga merupakan jemaah dari KT073, menjadikan jumlah jemaah yang meninggal seramai 15 orang, setakat hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agam) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 5.10 petang waktu tempatan, semalam.
“Allahyarham menetap di Bangunan Marsa Al Jariah, Maktab 81 (Pengelola Jemaah Haji (PJH – Mahabbateen).
“Ketika di Tanah Suci, beliau ditemani isteri, Rozina Saad,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Na’im berkata, Tabung Haji telah menguruskan pengesahan kematian dan memaklumkan berita pemergian kepada waris di tanah air dan segala urusan jenazah akan diuruskan oleh petugas haji.
“Saya mewakili seluruh rakyat Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga dikurniakan ketabahan dan kekuatan atas ujian ini.
“Marilah kita semua mendoakan agar roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Amin ya Rabbal ‘alamin,” katanya.
Untuk rekod, sebanyak 14 kes jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Makkah berpunca daripada serangan jantung sementara hanya seorang disebabkan jangkitan kuman dan kegagalan organ.–AlHijrah Online