PELABUHAN KLANG: Seorang lelaki dilaporkan tersepit selepas sebuah bas pekerja kilang dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah lori treler, di kawasan Taman Kota Pendamar, di sini malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sekitar jam 8:54 malam.
Difahamkan bas pekerja kilang telah melanggar bahagian belakang sebuah lori treler mengakibatkan pemandu bas tersebut gagal mengawal kenderaan sebelum tersepit di dalam ruang pemandu.
“Sejurus menerima panggilan, anggota bomba telah dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba sekitar jam 9:08 malam.
“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah bas pekerja kilang yang melanggar belakang sebuah lori treler,” katanya, malam tadi.
Tambahnya, akibat kejadian seorang pemandu bas pekerja kilang terlah tersepit di bahagian pemandu.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa telah dijalankan dengan menggunakan peralatan khas, sebelum mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS di lokasi kejadian,” tambahnya.
Mangsa mengalami kecederaan parah pada kedua belah kaki dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk rawatan lanjut.—AlHijrah Online