SERDANG: Lelaki yang tular videonya memecut laju kereta dipandu untuk melarikan diri daripada polis, berjaya ditahan di Jalan Persiaran Pinggiran Putra Seri Kembangan, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, suspek berusia 41 tahun enggan berhenti untuk pemeriksaan seperti diarahkan pasukan polis yang melaksanakan tugas ronda jenayah, kira-kira jam 1 tengah hari.
Katanya anggota berkenaan terserempak kereta Honda City dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan dan menghampirinya.
“Selepas memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa polis, secara tiba-tiba suspek melarikan diri dengan memecut keretanya menuju ke Puchong melalui Lebuhraya Damansara Puchong.
“Selepas diekori, lelaki berkenaan berjaya ditahan dan pemeriksaan padanya menemui satu paket plastik lutsinar disyaki syabu, malah semakan mendapati suspek memiliki 18 rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, ujarnya.
Dalam pada itu, Anbalagan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan komen yang boleh mengganggu siasatan.–AlHijrah Online