
KUALA LUMPUR: Seorang wanita cedera selepas terjatuh dan tersepit di bawah sebuah tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen LRT Abdullah Hukum, Bangsar, petang tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6:19 petang tadi berhubung kejadian.
Seramai sembilan orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai dikerahkan ke lokasi kejadian, katanya.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian pada jam 6:24 petang, didapati seorang mangsa telah terjatuh dan tersepit di bawah LRT.
“Mangsa seorang wanita dewasa berusia 39 tahun mengalami kecederaan di bahagian tangan dan muka,” menerusi kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 6:38 petang sebelum diberi rawatan awal kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.—AlHijrah Online