IPOH: Seorang lelaki berusia 32 tahun yang hilang selepas terjatuh ke dalam Empangan Sultan Azlan Shah di Ulu Kinta dekat sini pada 27 Feb lepas ditemukan lemas hari ini.
Mayat mangsa dijumpai terapung kira-kira 300 meter dari lokasi lelaki itu dipercayai terjatuh.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat mangsa pada 11.22 pagi tadi.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun telah digerakkan ke lokasi sejurus menerima maklumat bagi menjalankan operasi membawa naik mayat.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian awal pagi Jumaat lepas, JBPM Perak memaklumkan seorang lelaki dikhuatiri lemas, manakala rakannya berjaya diselamatkan dalam kejadian di Empangan Sultan Azlan Shah itu.
Pada 28 Feb, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam kenyataan berkata lelaki yang dikhuatiri lemas itu, disyaki terlibat dengan kegiatan mencuri kabel bersama seorang lagi rakannya di pencawang Tenaga Nasional Berhad di empangan berkenaan.–Bernama