MARANG: Seorang murid tahun enam maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Rawai-Pasir Tinggi dekat Kampung Padang Pak Wan, di sini malam tadi.
Mangsa, Muhammad Alif Adam Zulkifli, 12, yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Rawai, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala, kira-kira jam 8 malam.
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas membeli kad tambah nilai di kedai kampung bersebelahan.
Ketua Polis Daerah Marang Dep. Supt. Mohd Razman Setapa berkata, siasatan awal mendapati kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 54 tahun sedang mengundur untuk keluar dari pintu pagar rumahnya.
“Semasa kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Kampung Rawai tiba-tiba melanggar bahagian kiri belakang Toyota Hilux berkenaan sehingga motosikal tersebut remuk di bahagian hadapan.
“Akibat rempuhan itu mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya semasa ditemui wartawan Berita AlHijrah di lokasi kejadian.
Bagaimanapun pemandu Toyota Hilux tersebut dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.—AlHijrah Online