
PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) komited dalam merealisasikan pelaksanaan diyat sebagai instrumen keadilan buat mangsa serta waris mangsa yang terlibat dengan kematian akibat jenayah.
Menterinya Dr Zulkifli Hasan berkata, satu perbincangan telah diadakan bagi pelaksanaan diyat digerakkan bersama barisan mufti, tokoh serta pakar dalam bidang masing-masing oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), pada 11 Februari lalu.
“Perbincangan ini bagi memastikan perlindungan keadilan dan hak waris, selain sokongan terhadap pelaksanaan diyat berasaskan syariah melalui kajian undang-undang dan takaful,” katanya sambil mengecam kejadian meragut nyawa seorang penunggang motosikal di Klang, akibat pemandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol, baru-baru ini.
Zulkifli menegaskan, tindakan memandu dalam keadaan mabuk bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga membahayakan nyawa orang lain.
“Kejadian ini amat menyedihkan dan merupakan satu bentuk kecuaian yang tidak boleh dikompromi kerana melibatkan kehilangan nyawa yang tidak ternilai. Saya menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap pelaku.
“Hak waris mangsa tidak boleh diabaikan dan mekanisme diyat wajar diteliti sebagai pampasan berasaskan Syariah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zulkifli turut menyambut baik usaha Kementerian Pengangkutan yang sedang merangka pindaan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa selain hukuman penjara.
“Semoga keadilan ditegakkan dan kejadian ini menjadi peringatan kepada semua pengguna jalan raya. Moga roh Almarhum Amirul Hafiz Omar ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Klang membenarkan suspek berusia 20-an itu direman empat hari hingga Khamis, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.—AlHijrah Online