PUTRAJAYA: Ramadan adalah madrasah terbaik untuk refleksi dan menilai diri selain memperkukuh fokus, meningkatkan mutu kerja dan memperbaiki segala kelemahan yang ada, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Ramadan merupakan ‘sekolah’ yang menghimpunkan seluruh lapisan masyarakat, sama ada mufti, menteri mahupun rakyat biasa, untuk kembali bermuhasabah dengan penuh tawaduk dan rendah diri.
“Muhasabah dan ambil kesempatan ini untuk perbaiki diri kita masing-masing. Ini bukan sekadar masa untuk mengajar atau berkuliah kepada orang lain untuk perbaiki diri, tetapi ruang untuk kita menoleh ke dalam diri, muhasabah, perbaiki kelemahan kita serta meningkatkan keupayaan dalam pelbagai bidang dan dimensi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ihya’ Ramadan, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan timbalannya Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Anwar berkata tuntutan berpuasa bukan sekadar tradisi, sebaliknya ujian keikhlasan, disiplin dan kekuatan diri yang telah dilalui umat terdahulu sebagaimana dirakamkan dalam al-Quran.