
Letupan serangan di Tehran susulan konflik Iran-As dan Isarael. – AFP
KUALA LUMPUR: Konflik yang berlaku di Asia Barat terutama di Iran pada masa kini bukan sahaja melibatkan persaingan geopolitik antara kuasa besar dunia, tetapi turut memberi kesan kepada hubungan sesama umat Islam.
Dalam keadaan ini, keutamaan yang perlu diberikan oleh dunia Islam ialah usaha untuk mengekalkan perpaduan umat dan mengelakkan perpecahan yang boleh melemahkan dan membawa kemudaratan.
Malaysia sebelum ini melalui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan kepentingan dialog dan rundingan sebagai jalan terbaik untuk menghentikan konflik.
Menurut Anwar, akan ada pihak yang mendesak pendekatan yang lebih keras, namun sejarah menunjukkan langkah itu tidak membawa kebaikan berbanding dialog dan perbincangan.
“Saya terdorong dengan seruan agar mengekalkan kewaspadaan yang telah muncul daripada pihak tertinggi di Iran di tengah konflik yang berterusan di negara Teluk dan Asia Barat.
“Seruan itu wajar diambil dengan serius dan dihormati. Sentiasa ada suara yang menggesa pendekatan lebih tegas, tetapi sejarah jarang menyebelahi mereka yang memilih eskalasi berbanding rundingan apabila pintu dialog masih terbuka dan untuk menjaganya, ia memerlukan keberanian sebenar,” katanya.

Oleh itu, kerajaan Malaysia menyeru semua pihak supaya mengelak provokasi dan kembali kepada proses diplomasi bagi mencapai penyelesaian yang menyeluruh dan adil.
Malaysia juga berusaha menggunakan hubungan diplomatiknya dengan pelbagai negara dan organisasi antarabangsa bagi menggalakkan usaha menghentikan serangan serta mengurangkan ketegangan di rantau tersebut.
Namun, dalam masa yang sama dunia Islam sering berdepan dengan satu cabaran besar iaitu perpecahan dalaman, khususnya yang berkaitan dengan perbezaan mazhab.
Dalam konteks politik moden, perbezaan mazhab sering diperbesar-besarkan sehingga menimbulkan ketegangan yang tidak sepatutnya.
Naratif yang menonjolkan perbezaan secara melampau boleh melemahkan solidariti umat Islam dan mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang dihadapi oleh dunia Islam.
“Isu perbalahan mazhab dicetuskan pembaharuannya oleh Zionis Israel, Amerika Syarikat dan negara-negara blok Barat.
“Mereka menentang sekeras-kerasnya penubuhan semula negara Islam dengan mewujudkan Syiah jadian yang jahil dalam masyarakat Sunni dan kumpulan fanatik mazhab dalam Syiah.
“Media digunakan untuk mempengaruhi masyarakat umum yang jahil serta para ulama’ yang tidak bertafaqquh dalam urusan al-din dan buta sejarah,” kata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ulasannya berhubung konflik Iran.
Iran sering menjadi sasaran tekanan politik dan ketenteraan kerana pendiriannya yang tegas dalam menentang Israel serta menyokong perjuangan rakyat Palestin di peringkat antarabangsa.
Oleh itu, bagi memastikan negara yang kuat dengan aset ketenteraan itu melemah, musuh akan menggunakan pelbagai strategi terutama memecah belahkan umat Islam untuk tidak bersama Iran.
Dalam keadaan ini, umat Islam perlu lebih berhati-hati agar tidak terperangkap dalam perbalahan dalaman yang akhirnya hanya menguntungkan pihak luar.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini juga telah menasihatkan umat Islam untuk tidak mudah menyokong Israel dan Amerika Syarikat yang menyerang Iran hanya kerana perbezaan mazhab.
Katanya walaupun seseorang tidak bersetuju dengan fahaman Syiah di Iran, tindakan pencerobohan, pengkhianatan dan pelanggaran kedaulatan sesebuah negara tidak boleh dianggap wajar. – AlHijrah Online