
JERTIH: Sebuah ambulans yang membawa dua pesakit lelaki ke Hospital Besut terlibat dalam kemalangan di Kampung Cherang Meliling, Jalan Jertih-Pasir Akar, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahman berkata, kejadian kira-kira jam 5 petang itu berlaku ketika ambulans berkenaan dalam perjalanan menghantar dua pesakit yang cedera akibat kemalangan lain untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipercayai melintas dari bahu jalan di sebelah kanan sebelum bertembung dengan ambulans terbabit.
“Akibat pelanggaran tersebut, ambulans telah hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum melanggar sebuah kereta yang diparkir hingga menyebabkan kenderaan tersebut terjatuh ke dalam longkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selain dua pesakit terbabit, individu lain yang terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kedua-dua pesakit telah dipindahkan dengan ambulans lain dan dihantar ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Rozaime meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di talian 09-6972700 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta memberi laluan kepada kenderaan kecemasan yang sedang menjalankan tugas. — AlHijrah Online