Connect with us

ALHIJRAH NEWS

PENGGUNA WHATSAPP DIJANGKA PERLU SAHKAN IDENTITI DAN NOMBOR TELEFON

DALAM NEGARA

PENGGUNA WHATSAPP DIJANGKA PERLU SAHKAN IDENTITI DAN NOMBOR TELEFON

MCMC sedang meneliti kemungkinan mewajibkan WhatsApp mengesahkan identiti dan nombor telefon pengguna sebagai langkah tambahan membendung sindiket penipuan yang semakin kerap menyalahgunakan aplikasi berkenaan.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti kewajaran mengenakan syarat kepada WhatsApp supaya mengesahkan identiti serta nombor telefon yang digunakan bagi membendung kegiatan penipuan dalam talian.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, langkah itu antara usaha tambahan yang dipertimbangkan susulan sindiket penipuan yang terus mengubah modus operandi termasuk menyalahgunakan aplikasi komunikasi berkenaan.

“MCMC sedang meneliti kewajaran untuk mengenakan satu syarat kepada WhatsApp yang mana mereka perlu mengesahkan nombor telefon yang dipaut kepada akaun aplikasi itu.

“Baru-baru ini di Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), saya mendengar pandangan daripada banyak negara yang membangkitkan isu mengenai penyalahgunaan WhatsApp untuk tujuan panggilan penipuan. Jadi, banyak negara sedang teliti adalah membuat pengesahan identiti dan nombor telefon yang digunakan,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Menurutnya, kerajaan turut meneliti beberapa langkah tambahan pada peringkat rangkaian telekomunikasi bagi mengekang kegiatan penipuan termasuk kes individu menyamar sebagai pegawai MCMC.

Fahmi berkata, MCMC sebelum ini berjaya melaksanakan perubahan teknikal bagi menyekat panggilan yang memalsukan identiti pemanggil atau spoofing calls, namun sindiket penipuan kini beralih kepada kaedah lain.

“Sebelum ini, pihak MCMC melaksanakan perubahan teknikal yang berjaya mengekang spoofing calls. Tetapi pihak scammer beralih kepada cara penipuan yang berbeza. Jadi, kita nampak perlu tindakan tambahan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa MCMC tidak pernah membuat panggilan untuk memberi amaran mengenai penamatan talian telefon atau memaklumkan tunggakan bil.

“Untuk orang awam, MCMC tidak akan membuat panggilan bagi memberi apa-apa amaran untuk menutup talian telefon. MCMC tidak buat kerja itu. Itu adalah tugas syarikat telekomunikasi sendiri,” katanya. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top