
KLUANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu tunduk kepada desakan supaya Parlimen dibubarkan lebih awal selagi masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, kerajaan pimpinan Anwar masih mempunyai baki kira-kira setahun sebelum tamat penggal pentadbiran dan tempoh itu wajar dimanfaatkan untuk melaksanakan agenda reformasi serta dasar penting negara.
“Selagi Perdana Menteri mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat, tidak ada sebab perlu ditunduk kepada mana-mana tekanan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Johor 2026, hari ini.
Beliau mengulas desakan pihak tertentu supaya Parlimen dibubarkan lebih awal bagi menangani kemelut politik semasa.
Menurut Loke, antara keutamaan kerajaan ketika ini ialah memperkasakan reformasi perundangan yang dirancang termasuk pindaan Perlembagaan Persekutuan serta penggubalan undang-undang baharu.
Usaha itu, katanya, penting bagi memperkukuh tatakelola pentadbiran, memantapkan pengurusan kewangan negara serta memastikan agenda membanteras rasuah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Perdana Menteri seharusnya memanfaatkan tempoh setahun ini untuk melaksanakan kerja-kerja dan reformasi tersebut, dan bukannya tunduk kepada mana-mana tekanan untuk membubarkan Parlimen,” katanya.
Mengulas dari sudut perlembagaan, Loke berkata kuasa menentukan pembubaran Parlimen terletak pada Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut menegaskan pimpinan Pakatan Harapan kekal menyokong kepimpinan Anwar bagi memastikan kestabilan politik terus terpelihara demi kepentingan rakyat dan negara. — AlHijrah Online