
PORT DICKSON: Seorang peserta program Himpunan 125ZR Members 2.0 maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 5.7 Jalan Pantai, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Ahmad Afiq Mohd Adnan berkata, nahas kira-kira jam 4.30 pagi itu mengorbankan lelaki tempatan berusia 28 tahun dari Petaling Jaya, Selangor.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah Perodua Axia dipandu wanita tempatan berusia 29 tahun sedang bergerak dari arah Batu 4 Jalan Pantai menuju ke Taman Intan Duyung.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan dan melanggar kereta berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta mengalami kecederaan ringan manakala penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Afiq berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Port Dickson.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — AlHijrah Online