PUTRAJAYA: Solat jenazah ghaib buat pemimpin Hamas, Asy Syahid Ismail Haniyeh, akan dilakukan di seluruh masjid di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, arahan berhubung solat jenazah ghaib itu telah dikeluarkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail.
“Kita dapatkan maklumat dulu. Apabila selesai proses pengebumian, saya minta semua Masjid JAKIM dan JAWI untuk mengadakan solat ghaib,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Terdahulu, Ketua biro politik pasukan pejuang Palestin Hamas, Ismail Haniyeh dilaporkan terbunuh dalam satu serangan rejim Zionis Israel di Tehran, Iran.
Haniyeh dilaporkan syahid bersama seorang pegawainya selepas kediamannya diserang rejim Zionis.— AlHijrah Online
Pingback: PEMIMPIN HAMAS ISMAIL HANIYEH SYAHID DIBUNUH DI IRAN – ALHIJRAH ONLINE