KUALA LUMPUR: Stesen televisyen Islamik pertama di Malaysia, TV AlHijrah hari ini menyangkal dakwaan tidak tepat yang dilemparkan terhadap stesen televisyen itu, menerusi satu siaran podcast, baru-baru ini.
TV AlHijrah telah memainkan peranan yang amat besar dalam membentuk pemikiran selain mewujudkan masyarakat dan generasi yang lebih berilmu melalui penerbitan kandungan yang kreatif dan sentiasa relevan.
Menurut stesen tv itu, sejak dilancarkan pada 7 Disember 2010 bersamaan 1 Muharam 1432H, TV AlHijrah terus mempromosi Islam sebagai gaya hidup dan mendidik masyarakat melalui kandungan-kandungan pelbagai genre yang mendidik jiwa berpandukan Al Quran, Hadis dan Sunnah serta mengikut prinsip Ahlul Sunnah Wal Jamaah.
“Sebagai sebuah agensi media kerajaan, TV AlHijrah sentiasa mendokong hasrat pucuk pimpinan negara dalam melahirkan masyarakat yang lebih berilmu, progresif, positif dan seimbang dari segi pemikiran dalam menjalani kehidupan seharian melalui terbitan kandungan-kandungan bual bicara, dokumentari, berita, rancangan kanak-kanak dan juga hiburan mengikut garis panduan serta akta-akta yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Lembaga Penapisan Filem (LPF).
“Dengan slogan “Satukan Ummah Dengan Ilmu”, hampir keseluruhan kandungan program TV AlHijrah adalah bersifat ilmu dan pengisian rohani selain berkongsi dasar dan inisiatif berkaitan kerajaan dalam membangun negara MADANI yang lebih mampan dan inklusif berdasarkan pelan Al Falah,” kata TV AlHijrah dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan yang lain, pencapaian TV AlHijrah sebagai saluran agama sangat membanggakan selepas mendapat tempat di kalangan lima saluran terbaik Malaysia yang banyak didominasi oleh saluran-saluran hiburan drama dan konsert.
Katanya, berjuta rakyat Malaysia telah mendapat manfaat dari kandungan yang disiarkan oleh TV AlHijrah sejak 14 tahun yang lalu dan sangat banyak maklum balas positif yang diterima daripada penonton-penonton termasuk dari negara-negara jiran.
Sebelum ini tular di media sosial memaparkan satu rakaman podcast yang mempertikaikan usaha dakwah yang dilakukan oleh TV AlHijrah dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).—AlHijrah Online