KUALA LUMPUR: TV Alhijrah sekali lagi menerima pengiktirafan anugerah The BrandLaureate Fast Moving Growing Sustainable Business & Brands Award 2024 – Nation Branding dalam kategori Kandungan Digital Terbaik.
Menurut Ketua Pegawai Operasi TV Alhijrah Nadzariah Mohamed, anugerah itu merupakan permulaan yang baik bagi stesen TV Alhijrah yang mengembangkan penyebaran maklumat melalui platform digital di aplikasi Alhijrah Plus.
“Kandungan digital kita telah diperakui oleh BrandLaureatte dan ini menunjukkan ia diterima penonton dan kita akan menyediakan lebih banyak kandungan di platform itu di masa hadapan,” kata Nadzariah.
Tambah Nadzariah, pengiktirafan yang diterima itu hasil kerja berpasukan seluruh kakitangan TV Alhijrah yang bertungkus-lumus menyediakan pelbagai kandungan terbaik untuk disajikan kepada penonton.
Kandungan digital TV Alhijrah boleh dilayari melalui aplikasi Alhijrah Plus yang kini telah dimuat turun lebih 150,000 pengguna aktif sejak diperkenalkan pada 2021.
Nadzariah berkata demikian selepas menerima anugerah berkenaan dalam majlis makan malam Gala yang dianjurkan The World Brands Foundation (TWBF) di Hotel Majestic, ibu negara.
Dalam sambutan gilang-gemilang itu, TWBF memberi penghormatan kepada jenama global yang terunggul dalam pelancaran sulung Anugerah The BrandLaureate Fast Moving Growing Sustainable Business & Brands 2024.
Sementara itu Pengurus Besar The BrandLaureatte Farouq Sahibjan berkata, setiap penerima anugerah telah dinilai dengan teliti sebelum diputuskan panel penilai profesional.
“Kita menggunakan teknik penilaian dan analisa dari segi brand communication, brand innovation, brand strategy dan beberapa lagi kriteria.” kata Farouq.
Pengasas Anugerah The BrandLaureate, Prof. Dr KKJohan pula semasa ucapan alu-aluannya, menggalakkan penerima untuk memanfaatkan anugerah itu sebagai lonjakkan pertumbuhan jenama.
Beliau turut menggesa penerima anugerah untuk membuat sesuatu yang berani dalam kepimpinan mereka untuk mencari peluang melangkah ke hadapan, belajar dan terus berkembang. -AlHijrah Online